Halaman

17 December 2010

Sidang Dewan Undangan negeri (Hari Keempat)

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Penduduk Ladang Tetap Dapat Keistimewaan

Pelbagai keistimewaan disediakan kerajaan negeri bagi memastikan penduduk yang tinggal di kawasan penempatan semula kampung Ladang Tok pelam hingga Tanjung, Kuala Terengganu dapat hidup selesa dan tidak terbeban dengan kadar sewa apabila berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan demikian dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari terakhir, hari ini (16 Disember).

Katanya, kerajaan tidak pernah menganiaya rakyat dan sudah merancang perkara itu sekian lama termasuk meminta peniaga tembaga di kawasan itu mencari tempat perniagaan sementara sehingga kawasan mereka dibangunkan semula.

Beliau berkata, kerajaan memberikan subsidi 50 peratus bagi rumah kos rendah, manakala harga tanah bagi Pangsapuri Ladang Gemilang bagi rumah mampu milik berharga RM150,000, dijual dengan harga RM75,000.

“Begitu juga dengan kadar sewa hanya dikenakan RM300. Kita buat kajian kalau rumah di kawasan itu biasanya mencecah RM600 hingga RM700. Bagaimanapun kadar sewaan ini hanya dibuka kepada mereka yang terlibat dalam perpindahan itu sahaja.

“Sementara mereka yang termasuk dalam senarai penerima bantuan sewa rumah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mereka hanya perlu bayar RM126 sahaja setiap bulan,” kata beliau .

Menurut beliau lagi, berdasarkan prosedur biasa, bagi tiga tahun pertama mereka bayar sewa dan selepas itu jika tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan, kerajaan menetapkan tiga tahun pertama sebagai bayaran permulaan kepada sewa beli rumah itu sebagaimana yang sudah dijelaskan.

Menteri Besar berkata, banyak keistimewaaan diberikan kepada penduduk di kawasan itu kerana jika diikutkan harga biasa, pemaju perlu mengambil 10 peratus daripada harga rumah.

Contohnya, harga RM75,000 pemaju akan ambil RM7,500 dan barulah kunci diserahkan kepada pemilik.

“Cuma yang dikesalkan apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu ini. Kita beritahu dengan jelas nilai sewa RM126 sebulan. Jumlah itu hanya kepada penerima bantuan sewa rumah dalam bandar. Ini juga formula sebagaimana pernah disebut bekas Menteri Besar lalu,” kata beliau lagi.

Katanya, penyusunan semula kawasan itu antara lain bagi memastikan orang melayu dan peniaga Melayu mendapat rumah yang lebih selesa selain tidak menimbulkan pandangan yang menjelikkan mata pada masa depan.

Dato’ Seri Ahmad berkata, selain pengambilan tanah, kerajaan juga mempunyai alternatif lain iaitu dengan menimbus tanah di laut dengan kos yang lebih murah, berbanding pengambilan tanah. Bagaimanapun, pengambilan semula tanah bagi penyusunan semula kawasan itu dilakukan bagi memastikan kampung dalam bandar Kuala Terengganu tidak terus terpinggir walaupun dalam tempoh 100 tahun akan datang.


TEGANUKITA