Halaman

02 December 2010

PMINT Lancarkan Usaha Wujud Pulau Bebas Cukai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri berharap usaha mewujudkan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dapat berjalan lancar mengikut tempoh ditetapkan dengan bantuan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti hartanah, pelancongan dan pertanian.

Menteri Besar , Dato’ Seri Ahmad Said, berkata peranan PMINT amat besar dalam pembangunan negeri dan perbadanan itu diharap mampu memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan memajukan tasik buatan manusia yang menjadi destinasi pelancongan terkemuka negara itu.

"Kerajaan negeri percaya PMINT boleh membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan termasuk mewujudkan rangkaian hotel dan lot-lot perkedaian," katanya selepas merasmikan majlis makan malam PMINT dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 20 kakitangan perbadanan itu, di Taman Tamadun islam, Kuala Terengganu, semalam (29 November).

Dato’ Seri Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT berkata tempoh untuk memajukan kawasan bebas cukai itu agak singkat iaitu 18 bulan hingga dua tahun.

"Terserah kepada PMINT untuk memajukan kawasan berkenaan sama ada dia hendak mendirikan hotel atau rangkaian perkedaian secara sendiri atau kerjasama dengan pelabur dari luar," katanya.

Sementara itu, di majlis yang sama turut diadakan penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kepada PMINT di mana PMINT telah berjaya mendapat kan persijilan ini di dalam tempoh masa hanya empat bulan.

Ini merupakan hasil daripada kerjasama yang erat dan komitmen antara kakitangan PMINT bersama-sama dengan pengurusan yang bekerja keras sepanjang tempoh berkenaan.


TEGANUKITA