Halaman

02 December 2010

KBS Cadang Kekal Piala Monsun

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk mengekalkan penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun selepas kontrak penganjurannya tamat pada 2012 nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya akan memaklumkan keputusan sama ada kejohanan itu diteruskan selepas 2012 nanti atau sebaliknya selepas perkara itu selesai dibentangkan di kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, sehingga kini KBS berpuas hati dengan pendedahan dan pencapaian penganjuran sukan itu selain kemudahan prasarana yang lengkap dan mendapat sokongan padu kerajaan negeri.

"Kita akan kaji laporan penilaian tentang penganjuran kejohanan termasuk dari sudut pulangan pelaburan dan pendedahan sukan ini kepada rakyat dan laporan ini kita bentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan nanti,” kata beliau dalam sidang media selepas menyertai kejohanan Piala Coronation di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (30 November).

Kejohanan yang diadakan sempena kejohanan Piala Monsun 2010 berlangsung selama enam hari yang berakhir 5 Disember ini turut disertai oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata, walaupun menerima cadangan untuk menukar lokasi kejohanan daripada Pulau Duyong ke Pulau Langkawi atau Putrajaya namun kementerian berpendapat lokasi yang sedia ada, adalah yang terbaik untuk kejohanan sukan itu.

Beliau berkata, penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong pernah menerima pengiktirafan daripada badan pelayaran antarabangsa, World Match Racing Tour (WMRT) apabila memenangi anugerah Pengurusan Terbaik pada tahun lalu.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam memastikan Piala Monsun kekal diadakan di Terengganu.


"Selama ini kita telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menjayakan kejohanan ini untuk memastikan kejayaan Terengganu menjadi antara penganjur yang terbaik,” kata beliau.

Malah, kerajaan negeri bersedia untuk menaikkan nilai hadiah pada kejohanan akan datang dan membincang mengenainya dengan pihak penganjur.

TEGANUKITA