Halaman

21 December 2010

Kadar Kemiskinan Turun 10 Peratus Tahun Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menyasarkan Indeks Kunci Pencapaian (KPI) penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan 18,576 orang dengan peruntukan RM30 juta sepanjang 2010 dapat diturunkan sebanyak 10 peratus tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib, berkata kaedah utama bagi menurunkan kadar kemiskinan itu adalah dengan melakukan pemutihan semula iaitu memastikan penerima yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan am yang diperuntukkan JKM.

Beliau berkata, kaedah lainnya adalah memberikan keselesaan dan keceriaan kepada golongan miskin termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang sempurna.

Sepanjang 2010, kerajaan negeri membina 5,990 unit rumah baru manakala 10, 436 unit rumah dibaikpulih melalui peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“ Ini bukan kerja pengarah JKM sahaja, tetapi semua kakitangan JKM perlu memastikan KPI mencapai pengurangan 10 peratus pada tahun depan. Kalau bertambah (jumlah penerima) bermakna kita tidak mencapai sasaran KPI.

“Kita tidak mahu sebagaimana (contoh) pada tahun 2005, 2006, 2007 berlaku peningkatan. Apabila meningkat bermakna kita masih di tahap miskin yang melampau. Jadi kita mahu kurangkan jumlah sedia ada itu sebagai misi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Mesra JKM Bersama Media, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam (19 Disember).

YB Yahya berkata, jumlah penerima JKM itu juga merupakan antara 24,549 peserta yang berdaftar melalui sistem e-Kasih atau melibatkan 500 unit rumah iaitu 9 hingga 10 peratus merangkumi keseluruhan penduduk Terengganu.

Menurut beliau, daripada keseluruhan data kemiskinan negeri, miskin tegar (362 orang), miskin (5,209 orang) dan mudah miskin seramai 18,978 orang.

Sebagai contoh, kata beliau jika sebuah keluarga memerlukan RM30 sehari sebagai perbelanjaan isi rumahnya dan hanya memperolehi RM20 daripada keperluan sebenar RM30, maka dia dikategorikan golongan miskin.

Sementara, jika ada keluarga memerlukan RM30 tetapi hanya memperolehi RM10, situasi itu dikategorikan miskin tegar.

Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalah RM100 dengan bilangan isi rumah 4.4 (bagi semenanjung).

Manakala miskin tegar adalah di kalangan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari PGK makanan. PGK makanan adalah berdasarkan keperluan harian kilo kalori setiap individu berdasarkan metodologi PGK makanan 2005 bagi Malaysia ialah RM4150.

Bagi kategori miskin pula (berdasarkan PGK 2007), golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720 bagi Semenanjung, RM960 bagi Sabah dan RM830 bagi Sarawak.

Sementara mudah miskin pula merupakan golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud treshold di bawah RM1500 bagi bandar dan RM1,000 bagi luar bandar.

YB Yahya turut mengumumkan untuk memberi saguhati kepada peserta Pemulihan Dalam Komuniti RM200 seorang, manakala setiap guru pengiring pula mendapat pakaian sutera selepas kumpulan berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan berkumpulan Gbakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TEGANUKITA