Halaman

03 November 2010

Skim Perlindungan Syariah Dapat Sambutan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar menandatangani plak perasmian Pejabat Wilayah Terengganu Takaful IKHLAS di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Usaha menawarkan skim perlindungan berasaskan syariah kepada masyarakat merupakan suatu yang dapat membangunkan muamalat Islam dan semakin mendapat sambutan baik di negeri ini .

“Saya ucapkan syabas kepada takaful IKHLAS, kerana mampu menarik 66,548 rakyat di negeri ini menjadi pelangannya,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Majlis Perasmian Pejabat Wilayah Terengganu Takaful IKHLAS, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (31 Oktober).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Takaful IKHLAS Malaysia, Encik Sharkawi Alis.

Katanya, penyediaan perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan inovatif berasaskan prinsip dan nilai Islam mampu mendapat perhatian masyarakat.

“Anugerah yang diterima oleh syarikat ini, membuktikan komitmen yang luas sebagai penyedia utama perlindungan kepada umum dan saya yakin ramai lagi akan beri sokongan,” katanya.

Sementara itu, Encik Sharkawi berkata, tahun kewangan syarikat terus meningkat daripada RM147 juta (2005), RM224 juta (2006), RM428 juta (2007), RM579 juta (2008) RM615 juta tahun lalu dan yakin mampu mencapai RM750 juta tahun ini.

“Peningkatan yang memberangsangkan juga berlaku di negeri ini iaitu RM8.2 juta (2007), RM11.7 juta (2008) dan RM13.9 juta (2009) manakala tahun ini dijangkakan meningkat kepada RM31 juta,” katanya.

Takaful IKHLAS menawarkan 90 pelan perlindungan berlandaskan syariah Islam dan dengan pembukaan pejabat baru di negeri ini, syarikat sedang giat merekrutkan ejen-ejen baru bagi memberi peluang rakyat tempatan menyertainya dan secara tidak langsung membolehkan mereka membaiki taraf hidup keluarga.

Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan zakat perniagaan takaful kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan (RM5,000), Pondok Darul Salam (RM5,000), Pondok Falahiah, Setiu (RM5,000) dan 20 orang pelajar dari Mahaad Tahfiz Wal Tarbiah, Tok Jiring, Kuala Terengganu.

TEGANUKITA