Halaman

06 October 2010

Yayasan Terengganu Bangun Sistem Baru Elak Penipuan

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) -- Yayasan Terengganu (YT) sedang membangunkan satu sistem baru bagi mengelak penipuan oleh pemohon bantuan persediaan kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pengarahnya Aziz Mamat berkata sistem itu yang akan dibangunkan oleh Top It Sdn Berhad, dijangka siap akhir tahun ini dan digunakan sepenuhnya tahun depan.

"Sistem yang bakal dibangunkan itu dapat mengesan dan memastikan maklumat pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS itu tepat untuk mengelak sebarang masalah penipuan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang YT yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahamd Razif Abdul Rahman.

Sebelum ini ada empat kes penipuan oleh seorang pelajar IPTS yang menggunakan kad pengenalan yang sama tetapi mengubah angka pada kad pengenalan itu. Kes itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Aziz berkata, sistem yang akan dibangunkan itu ia bukan sahaja berfungsi mengesan penipuan dan pemberian biasiswa tetapi juga untuk semakan bayaran balik pinjaman, data pelajar semasa dan juga pentadbiran YT sendiri.

"Dengan sistem yang kita bangunkan itu, segala borang permohonan pinjaman dan sebagainya akan dibuat melalui online sebagaimana yang dibuat oleh universiti-universiti sekarang," katanya.

Aziz berkata bahawa sebelum ini Yayasan Terengganu bergantung kepada sistem manual dan memang ada perkara-perkara yang tersilap dan terlepas pandang.

-- BERNAMA