Halaman

19 October 2010

Pemandu Teksi Diminta Jaga Imej Negeri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan Esah Abdullah


YB Khazan bersama pemilik dan pemandu kereta sewa Kuala Terengganu di majlis suai mesra di Chendering. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Pemandu kereta sewa (teksi) di negeri ini diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa sekaligus boleh membantu menaikkan imej negeri di mata orang luar.

“Pemandu teksi adalah cerminan imej negeri dan setiap layanan baik yang diterima akan menjadi sebutan mereka sampai bila-bila,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat di majlis Mesra Pemandu dan Pemilik Kereta Sewa Kuala Terengganu di Kompleks Nor Arfa Batik, Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Terengganu, Hajah Azizah Awang; Pengerusi Persatuan Kereta Sewa (PKS) Kuala Terengganu, Haji Yunus Salleh dan ahli-ahli Kelab Permotoran Terengganu (KPT) serta ahli-ahli PKS Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, katanya, pemandu teksi perlu mengetahui banyak perkara mengenai negeri ini terutama tempat bersejarah, pusat peranginan seperti pantai dan pulau serta makanan tradisional seperti keropok lekor serta ikan celup tepung.

“Biasalah orang luar akan bertanya macam-macam seperti kita juga kalau pergi ke tempat orang isu semasa atau pasal politik, jawablah dengan berhemah dan perkara yang baik-baik agar tidak timbul kekeliruan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan membantu semua golongan tanpa mengira kaum dan fahaman parti memberi gambaran keikhlasan dan kesungguhan mendahulukan rakyat dalam semua perkara.

“Apa yang kerajaan amalkan ini tidak lari daripada tuntutan dalam agama, membantu kepada yang susah dan bersangka baik kepada semua golongan,” katanya.

TEGANUKITA