Halaman

17 October 2010

PBT Perlu Peka Terhadap Bahasa

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kerajaan negeri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peka terhadap penggunaan bahasa terutama berkaitan paparan iklan, papan tanda dan nama jalan, supaya tidak disalah erti oleh pelbagai pihak.

Perkara ini selaras dengan undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan perlu diikuti pihak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penggunaan bahasa cukup penting terutama jika ingin dipaparkan kepada umum dan masyarakat luar.

Katanya, kempen bulan bahasa kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, sesuai dengan gagasan 1 Malaysia.

“ Inilah bukti usaha kita untuk memperkukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan,” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar sempena Majlis Perlancaran Bulan Bahasa Kebangsaaan 200 peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (12 Oktober).

Lebih 2,000 peserta pelbagai institusi dan agensi hadir di majlis itu yang turut diserikan persembahan puisi, sketsa dan lafaz ikrar sumpah setia bahasa.

Encik Razif turut menggesa masyarakat Terengganu memperbaharui iltizam dan azam bagi memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia

Sewajarnya, sebagai warganegara Malaysia, kita mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan tanpa diselitkan bahasa asing lain dalam setiap perbualan.

TEGANUKITA