Halaman

11 October 2010

100 Kelas Lahir Generasi Celik al-Quran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan ESAH ABDULLAH

Usaha melahirkan generasi celik al-Quran sejak kecil terus diperkasakan kerajaan negeri apabila sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi membiayai pengurusan 100 kelas khas al-Quran di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negeri mulai tahun depan.

“Setiap kelas akan diperuntukkan RM8,000 bagi penambahbaikan kelas Al-Quran tersebut,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas merasmikan Program Pintar Al-Quran 2010, Kanak-kanak Tadika Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, semalam (9 Oktober).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al- Amin Ismail dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Puan Nor Hazelina Hashim.

Seramai 6,246 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun khatam Quran tahun ini melibatkan 1,630 daripada Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT), kanak-kanak pra sekolah Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) (2,800), Tadika Kemas (1,666) dan Tadika Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPINT) seramai 150 kanak-kanak.

“Ternyata setiap tahun peningkatan jumlah khatam al-Quran amat ketara di mana tahun lalu seramai 4,622 kanak-kanak dan tahun sebelumnya (2008) seramai 2,660,” katanya.

Menurutnya, hasrat kerajaan untuk mengumpul 20,000 pelajar khatam sebelum melangkah ke sekolah menengah sudah melepasi sasaran kerana sehingga kini terdapat 23,202 orang termasuk kanak-kanak pra sekolah dan kelas-kelas Tabika berjaya menamatkan bacaan masing-masing.

“Tahun ini 16,956 pelajar sekolah rendah (tahun satu hingga enam) telah khatam Quran berbanding tahun lalu 14,000 pelajar dan majlis khatam untuk pelajar sekolah rendah ini akan diadakan pada 30 oktober depan,” katanya.

Katanya, kerajaan menyasarkan dapat melahirkan 30,000 generasi muda yang celik Al-Quran setiap tahun dan 10,000 daripadanya terdiri dari kanak-kanak pra sekolah.

Mengenai guru-guru agama yang akan memimpin kelas-kelas Al-Quran seluruh negeri, kursus-kursus persediaan kepada tenaga pengajar sentiasa diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari masa ke semasa.

“Saya cukup berbangga dengan pencapai kanak-kanak pra sekolah hari ini yang mampu menguasai Al-Quran dalam usia muda dan kita akan pertingkatkan usaha kearah pembentukan generasi yang mampu menjana kepimpinan muslim bertaraf global,” katanya.

TEGANUKITA