Halaman

10 August 2010

DUN Terengganu lulus bajet tambahan RM158j

Perbelanjaan keseluruhan melebihi RM2b

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam meluluskan bajet tambahan hampir RM158 juta menjadikan perbelanjaan kerajaan negeri keseluruhannya sehingga kini melebihi RM2 bilion, sekali gus menjadi bajet negeri tertinggi di negara ini.

Usul bajet tambahan itu dibentangkan, Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir), mengikut seksyen kecil (3) kepada 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan kemudian diluluskan selepas dibahaskan tiga wakil PAS dan dua wakil BN.

Undian dilakukan menggunakan kaedah belah bahagian dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Jertih) bersama 27 penyokong kerajaan mengangkat tangan bersetuju supaya bajet tambahan diluluskan, manakala lapan wakil pembangkang tidak mengundi.

Sebelum proses undian dilaksanakan, Dr Syed Azman Syed Ahmad (PAS-Batu Burok) mengemukakan usul agar persidangan DUN ditangguhkan mengikut fasal 30, untuk membincangkan mengenai perbelanjaan luar biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said daripada 2008 sehingga Ogos 2010.

Bagaimanapun, usul yang dikemukakan Dr Azman ditolak menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan Tengku Putera hingga memaksa Yang Dipertua menangguhkan persidangan selama lima minit.

Dr Syed Azman mendakwa, isu berkenaan adalah perkara tertentu kerana berlaku suatu penyalahgunaan kuasa yang boleh menggugat kestabilan negeri yang terkenal dengan kesantunan budaya serta hasil minyak dan sumber gas.

Ahmad ketika membahaskan usul itu mempersoalkan pemimpin parti pembangkang kerana berada dalam kebimbangan dengan bajet yang diminta.

“Soal ketirisan dan rasuah tak timbul.... mungkin parti pembangkang berada dalam kebimbangan kerana pengaruh BN semakin kuat dan diterima seluruh rakyat,” katanya.

dipetik dari bharian.com.my (2010/08/09)

TEGANUKITA