Halaman

29 August 2010

Atlit Sukma Terengganu dapat `duit raya'

Oleh: Aida Abd Rahman dan Wan Haironniza Wan Naim


Siti Rajiah menerima ganjaran RM37,500 berserta sebuah motosikal yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said. - Foto: ZULKIPLI PUTRA.

Atlit Terengganu yang memenangi pingat di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 Melaka baru-baru ini, ibarat menerima `duit raya’ apabila kerajaan negeri menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM1.5 juta, semalam (22 Ogos) .



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, menyampaikan insentif kepada 205 atlit, 21 pengurus dan 59 jurulatih yang memenangi pingat dalam pelbagai acara sukan di temasya berkenaan, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad dengan penuh kesyukuran berharap atlit dan pegawai sukan yang mewakili Terengganu akan terus memahat nama Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara.

Beliau juga mengumumkan akan menyampaikan hadiah RM1 juta sekiranya Mohd Azizulhasni Awang, 22, pelumba basikal negara yang berasal dari Dungun itu mampu menggondol emas dalam Sukan Olimpik 2012 di London, kelak.



Katanya, inisiatif menyediakan insentif itu antara komitmen kerajaan dalam memastikan ikon sukan muda itu akan melonjakkan nama negeri dan negara amnya di persada dunia sebagai anak Terengganu dan Malaysia yang pertama memenangi emas dalam acara sukan paling berprestij itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri akan terus melakukan pemantauan dan meneliti tahap pencapaian dan konsistensi jurulatih sama ada mereka perlu dikekalkan melatih atlit dan pasukan atau sebaliknya.

Dalam majlis semalam, atlit yang meraih emas menerima habuan RM5,000 bagi setiap pingat yang diperolehi diikuti RM3,000 untuk pingat perak dan RM2,000 untuk pingat gangsa.


Jumlah itu meningkat berbanding hanya RM3,000 (emas), RM2,000 (perak) dan RM1,000 untuk gangsa dalam kejohanan sebelum ini di laman sendiri.

Atlit kanu Siti Rajiah Ali, 20, menjadi penerima ganjaran tertinggi sebanyak RM37,500 serta sebuah motosikal Honda Icon 108cc yang merupakan sumbangan peribadi Menteri Besar selepas ratu sukan air itu memenangi tujuh pingat emas daripada tujuh acara berpasukan dan individu yang disertainya.

Insentif itu merupakan janji kerajaan negeri kepada atlit dan pegawai sukan yang terlibat membawa Terengganu juara Sukma untuk kali kedua berturut-turut, selain memberikan cuti umum pada 27 Jun lalu.

Dalam kejohanan Sukma lalu, Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa manakala Selangor muncul naib juara dengan meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

Sementara dalam kejohanan Sukma Terengganu 2008, Terengganu meraih 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa.

TEGANUKITA