Halaman

28 July 2010

Tambah peruntukan jika perlu

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan sedia ada sekiranya mana-mana persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) berjaya menarik minat ramai peserta atau penonton untuk mengikuti program bermanfaat yang dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata setiap program yang ingin dianjurkan perlu mendatangkan manfaat kepada masyarakat terutama kepada golongan belia.

Katanya, sebelum peruntukan yang diberikan, kerajaan perlu mengetahui pelbagai aspek termasuk tujuan, sasaran peserta dan jumlah perbelanjaan sebenar yang diperlukan.

“Semua aspek itu perlu diperinci bagi mengelak penyelewangan dan salahguna peruntukan yang diagihkan,” katanya ketika berucap di Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Sekolah-sekolah Rendah DUN Seberang Takir di Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, pihak kerajaan cukup gembira sekiranya penduduk dapat meluangkan masa dalam setiap program dianjurkan sama ada agensi kerajaan atau swasta kerana pelbagai ilmu yang diperolehi melalui program berfaedah itu.

“Program berilmu dan bercorak keagamaan seperti tilawah Al-Quran, berzanji dan nasyid sewajarnya dimanfaat sebaik mungkin dengan membawa keluarga dan sanak-saudara untuk bersama-sama hadir.

“Pertandingan yang anjur ini bukan semata-mata ingin mencungkil bakat peserta, tetapi bertujuan merapatkan hubungan kekeluarga, mengeratkan tali persaudaraan antara penduduk kampung dan memperoleh ilmu,” katanya.

TEGANUKITA