Halaman

12 July 2010

JKR Terengganu juara Karnival Sukan JKR Se Malaysia 2010

Oleh: Suriati Ali



Pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu merangkul gelaran juara keseluruhan dalam Karnival Sukan JKR Se Malaysia 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Negeri Sembilan.

Sebanyak enam jenis sukan iaitu bola sepak, bola tampar, badminton, bola jaring, ping pong dan sepak takraw dipertandingkan sempena karnival dua hari yang bermula 3 Julai, baru-baru ini.

Gelaran itu digondol JKR Terengganu selepas menjuarai sukan bola jaring dan ping pong serta tempat ketiga dalam acara badminton.



Setiausaha Majlis Sukan JKR Terengganu, Encik Mohd Nor Ibrahim berkata, sukan bola jaring yang diketuai Puan Norazian Mohamad menang mudah selepas berjaya mengalahkan JKR Kedah dengan agregat 17-8.

Katanya, pasukan JKR Terengganu akan terus menyertai karnival seperti ini kerana pelbagai faedah diperoleh, selain menjalinkan hubungan antara kakitangan JKR seluruh negara, memupuk pengalaman dan bakat baru di kalangan warga JKR dapat dicungkil.



“Kesungguhan yang ditampilkan kakitangan sebelum menyertai karnival bukan sahaja berbaloi malah dapat menaikkan imej JKR dan negeri,” katanya

TEGANUKITA