Halaman

16 June 2010

Modul baru lahir 50 peratus hafazan SM Imtiaz

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz melaksanakan pembaharuan dengan menggunapakai Modul Sukatan Hafazan al-Quran bermula tahun ini bagi memastikan sasaran melahirkan 50 peratus hafiz dan hafizah menjelang 2015.

Modul pertama seumpamanya di Malaysia itu baru diperkenalkan sebagai garis panduan kepada pelajar bermula tingkatan satu bagi menilai dan mengesan tahap penguasaan serta sukatan ilmu hafazan masing-masing mengikut bulanan.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Imtiaz, Encik Mazlan Che Will, berkata modul yang memakan masa setahun kajian sebelum berjaya diterbitkan itu menjadi bahan tambahan pelajaran yang penting bagi memastikan tahap hafazan pelajar Imtiaz semakin baik dan lebih lancar berbanding sebelum ini.

“Sistem ini baru diperkenalkan di mana ia dapat mengukur prestasi bulanan dan tahap yang perlu dicapai oleh pelajar Imtiaz

“Modul hafazan al-Quran seperti ini adalah yang pertama dalam sistem pendidikan negara dan ia dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said tidak lama lagi,” kata beliau kepada Teganukita, di pejabat Imtiaz, Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, silibus hafazan al-Quran itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan pendidikan di Indonesia yang berminat untuk mendapatkan modul berkenaan.

Beliau berkata , bagaimanapun, Imtiaz menerusi pengurusan Yayasan Terengganu tidak bercadang untuk berkongsi modul itu dengan pihak lain memandangkan ia perlu diwartakan terlebih dahulu sebagai Harta Intelek.

Sehingga April lalu, sebanyak 8.1 peratus SM Imtiaz atau 126 daripada 1,557 pelajar dari empat SM Imtiaz berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Berikutan itu, jumlah pelajar yang berjaya menghafaz dijangka akan mencapai 15 peratus sehingga penghujung tahun ini, berdasarkan jumlah yang berjaya menghafaz 20 hingga 29 juzuk atau 16.25 peratus pelajar sehingga April lalu.

RALAT:
Merujuk kepada laporan akhbar ‘Teganukita’ bil 22 muka surat 21, Berita itu sebenarnya dibaca, “Imtiaz bakal dibina di Kijal, Kemaman”. Kesilapan amatlah dikesali dan dipohon maaf.

TEGANUKITA