Halaman

16 June 2010

Habuan lumayan Sukma ke-13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Wan Haironniza Wan Naim

Habuan lumayan bakal diterima atlit Terengganu sekiranya berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma ) ke-13 Melaka 2010 pada 10 hingga 19 Jun ini.

Atlit yang berjaya merangkul pingat emas bakal mendapat RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000. Jika gagal mempertahankan kejuaraan, hadiah wang tunai kekal RM3,000 untuk emas dan RM2,000 serta RM1,000 masing-masing untuk perak dan gangsa.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, menjanjikan demikian kepada atlit dan pegawai Sukma di majlis penyerahan bendera Kontinjen Terengganu Sukma Melaka Ke-13 2010, di Universiti Darul Iman Malaysia, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kenaikan imbuhan itu diharap mampu menaikkan semangat juang yang tinggi kepada atlit dalam memburu kejuaraan pada Sukma Melaka nanti.

Terengganu mensasarkan 66 pingat emas pada temasya Sukma Melaka, sekaligus menambahkan koleksi pingat yang pernah diraih ketika bergelar juara dengan 61 emas pada Sukma 2008.

Dalam temasya ini, sebanyak 434 acara bakal dipertandingkan berbanding 404 acara Sukma yang lalu, selain 352 acara yang disertai atlit Terengganu. Kontinjen Terengganu menghantar 457 atlit, pengurus dan pegawai ke temasya itu.

Beliau berkata, kelebihan sebagai tuan rumah pada Sukma lalu menjadikan atlit berasa lebih berkeyakinan dan tidak mudah gentar apabila menghadapi lawan dan berharap apabila berada di tempat lawan, atlit Terengganu tetap positif, komitmen yang baik, persiapan mental dan fizikal yang konsisten, semangat juang yang membara serta disiplin diri yang tinggi.

“Berbekalkan pelbagai latihan, bimbingan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada para atlit sebelum tiba hari pertandingan, diharap akan dapat menyuntik semangat mereka bagi mengharumkan nama Terengganu di persada Sukma Melaka 2010 nanti.

“Oleh sebab itu, para atlit perlulah menghargai dan mempraktikkan sepenuhnya ilmu dan latihan yang telah dijalani walaupun beraksi di tempat lawan tanpa perlu berasa gentar dan kurang berkeyakinan kerana mereka sebenarnya mampu untuk menjadi juara,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ketua Kontinjen Sukma ke-13, Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Rosdi Awang.

Menteri Besar berharap supaya atlit dapat menghasilkan kejayaan menerusi usaha gigih selama ini dan membuktikan kejaguhan masing-masing.

Beliau juga menyifatkan mempertahankan kejuaraan adalah amat sukar dan sulit, tetapi tidak mustahil bagi kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan sekali lagi pada Sukma tahun ini berdasarkan prestasi dan persediaan yang sudah dibuat sebelum bermulanya temasya sebenar.

Sementara itu, Datuk Abdul Rahin turut mengharapkan atlit Terengganu memberi berita gembira buat lebih sejuta rakyat Terengganu yang menunggu kejayaan berganda daripada kontinjenTerengganu Sukma ke-13 pada hari terakhir temasya itu nanti.

“Saya mengharapkan atlit supaya tidak `over confident’ dan berasa terlalu selesa dengan kejayaan yang diperolehi ketika Terengganu menjadi tuan rumah dua tahun lalu. Malah, perkara ini saya sudah ulangi banyak kali dalam bengkel.

“Ulangi kejayaan dan pada masa yang sama, atlit tidak harus berasa besar diri, besar kepala dan lapang dada kerana mengekalkan kejuaraan bukan mudah sebaliknya satu cabaran yang harus dilaksanakan dengan penuh kesungguhan,” katanya.

TEGANUKITA