Halaman

25 May 2010

Jaguh sukan anak Terengganu di pentas dunia

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kerajaan Terengganu begitu peka terhadap perbangunan dan perkembangan sukan kerana meletakkan sukan sebagai sebahagian dari aspek pembangunan yang tidak dikesampingkan.

Walaupun bidang sukan biasanya dikaitkan dengan usaha persatuan masing-masing, tetapi kerajaan negeri tidak pernah melepaskan tanggungjawab untuk tujuan tersebut, sama ada melalui Majlis Sukan Negeri mahupun terus di bawah urusan pentadbiran negeri.

Selain bantuan-bantuan sukan, pembinaan kemudahan untuk bersukan, anugerah-anugerah sentiasa diberikan kepada ahli-ahli sukan yang telah mengharumkan nama negeri di persada negara, bahkan hingga ke peringkat dunia.

Terbaru. Raja pecut Le Tour de Langkawi Anuar Manan menerima sumbangan RM10,000 serta sebidang tanah daripada kerajaan negeri Terengganu.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri Menteri Besar Dato’ Ahmad Said selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Tanah seluas 449 meter persegi bernilai RM36,000 yang terletak di kawasan Tok Adis Kuala Ibai adalah anugerah yang cukup bernilai bagi masa depan Anuar yang bukannya datang dari keluarga yang berada.

Anuar yang mewakili sebuah kelab lumba basikal dari Korea akan menghadapi dua kejohanan antarabangsa iaitu Singapore Endurance Race di Singapura dari 27 hingga 28 Mei dan De Tour Jakarta pada 13 Jun depan.

Hadiah yang akan diterima oleh Anuar itu, sama seperti hadiah yang diberikan kepada pelumba basikal dunia Azizulhasni Awang, yang juga olahragawan negara sebagai mengiktiraf kejayaannya.

Dengan pelbagai insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri, diharapkan di masa-masa akan datang akan lahir bintang-bintang sukan negara dan dunia yang berasal dari Terengganu.

Sekalipun berasal dari kampung, tetapi sejarah sukan Terengganu telah banyak membuktikan bahawa ‘anak kampung’ juga mampu jadi jaguh dunia.

Kejayaan yang dicapai oleh Anuar, Azizulhasni dan lain-lain lagi sebelum ini sebenarnya telah meletakkan Terengganu dalam peta sukan dunia yang sekaligus mengharumkan nama Terengganu di pentas global.

TEGANUKITA