Halaman

25 May 2010

BUKIT BESI DIMAJUKAN KEMBALI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Berita kerajaan negeri mahu memajukan semula lombong di Bukit Besi bagaikan menyentak semula kenangan mereka yang pernah hidup di sana.

Lebih-lebih lagi kepada anak-anak pekerja lombong di situ yang kini berada di serata tempat, menerima berita itu dengan penuh berbaur gembira dan sayu. Sayu kerana terkenangkan zaman lampau di sana yang sungguh nostalgik, di masa mereka masih kanak-kanak.

Sedih dan sayu kerana kebanyakan ibubapa mereka yang pernah bergelumang di bandar lombong itu telah pun pulang kerahmatullah.

Zaman-zaman kegemilangan Bukit Besi, terutamanya awal tahun 60 an hingga 70 an menjadi ingatan yang sukar dilupakan kerana di sanalah ekonomi Terengganu waktu itu dijanakan.

Dalam waktu kepayahan rakyat Terengganu menghadapi kehidupan, terutama oleh kemiskinan, kekurangan pendidikan, kesihatan dan lain-lain, tetapi penduduk Bukit Besi di kala itu jauh ke hadapan dalam segala-galanya, bahkan di awal tahun 1930 an sudah didapati bekalan air dan elektrik disediakan.

Kerajaan negeri Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geologi supaya membuat kajian tentang perkara itu.

Perlombongan ini akan dilakukan dengan usahasama pihak tertentu dengan anak syarikat kerajaan negeri memegang sebahagian besar kepentingannya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sendiri turun membuat lawatan ke kawasan perlombongan bersejarah itu.

Di zaman era kegemilangan Bukit Besi dahulu pada tahun-tahun 60-an hingga 70-an, bahkan sebelum mardeka didapati lebih 4,000 orang bekerja di situ sehingga menjadikan Bandar Bukit Besi bandar paling maju di Terengganu sehingga membawa kepada pembinaan pelbagai prasarana untuk menampung keperluan ekonominya.

Bagaimanapun, era kegemilangan itu berakhir hampir 35 tahun lalu selepas lombong bersejarah itu ditutup. Namun, kini kawasan itu dipercayai masih mempunyai bahan galian tersebut.

Di samping bercadang mengusahakan semula lombong besi, kerajaan negeri akan memulihkan infrastruktur dan artifak-artifak lama yang pernah dibina semasa zaman perlombongan sebagai satu tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

Jabatan Muzium diminta mewartakan kawasan-kawasan serta artifak yang terlibat dalam usaha memulihara kembali tinggalan sejarah itu.

Apabila siapnya lebuh raya Pantai Timur fasa dua (LPT2) pada 2012 nanti, sudah tentu Bukit Besi akan bersinar kembali sebagai destinasi pelancongan yang penuh memori dan sejarah silam.

Berdasarkan sejarah, kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kajibumi dari Jepun, Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Hulu Dungun pada tahun 1916; mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut.

Di zaman permulaan, bijih besi diangkut dengan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kg. Dendang, kemudian ia di bawa ke Dungun menggunakan bot.

Syarikat Kuhara Mining Ltd telah menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927. Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).
Suatu perkara yang agak menarik, sejarah Bukit Besi ini amat sinonim dengan keretapi di Terengganu.

Satu-satunya perkhidmatan keretapi pernah wujud di Terengganu, pada tahun 1930 ialah hasil dari perlombongan besi di Bukit Besit.

Pada tahun 1930, laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'stock pile' atau tempat memunggah bijih yang pertama di Kampung Che' Lijah. Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun.

Namun selepas itu, laluan keretapi di panjangkan hingga ke Nibong (dikenali Nibong Stesen) seterusnya ke Sura setelah sebuah bukit berjaya dibuat laluan keretapi melalui terowong, sehinggakan bukit itu dikenali sebagai Bukit Tebuk.

Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) adalah syarikat yang mengendalikan perlombongan selepas Perang Dunia Kedua di bawah naungan British.

EMMCO telah memulakan kegiatannya secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun.

Bagi mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih sehingga aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti.
Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960 - 1964 dengan jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun.

Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi.

Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan ini, walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih terdapat dengan banyak lagi.

Penutupan lombong bijih besi memberi kesan ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun akibat kehilangan pekerjaan.

Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Sudah tentu berita Bukit Besi hendak dibuka semula memberi harapan baru kepada mereka yang pernah menetap di sini, bahkan kepada anak-anak bangsa penjajah sebelum ini yang pernah menetap di Bukit Besi di zaman kanak-kanak.

Hasrat membuka semula lombong besi itu tentulah berdasarkan prestasi industri besi dan keluli dijangka lebih baik, dengan permintaan semakin meningkat, dirangsang oleh peningkatan aktiviti sektor pembinaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebuah syarikat Malaysia dijangka membuat pelaburan baru sebanyak RM300 juta dalam industri ini dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Eksport besi dan keluli negara pada tahun lepas berjumlah RM8.82 bilion.
China menyumbang 50 peratus pengeluaran besi dan keluli dunia,kata Datuk Seri Mustapa tahun lalu pada sidang media selepas satu dialog kementeriannya bersama wakil industri besi dan keluli.

Lantaran itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Ahmad sentiasa memandang jauh ke hadapan melihat Terengganu mempunyai potensi besar untuk kembali cergas mengeluar dan mengeksport loga besi ini, bahkan menjana industri besi dan keluli sebagai nilai tambah kepada ekonomi negeri dan rakyat Terengganu.

Kalau China boleh menyumbang 50 peratus pengeluaran besi dan keluli dunia mengapa tidak kita?

TEGANUKITA