Halaman

18 April 2010

Wanita Terengganu ‘turun padang’ di Hulu Selangor

Laporan daripada Esah Abdullah dan Anida Abd Ghani dari Hulu Selangor.

Seramai 187 orang petugas pilihan raya Pergerakan Wanita Umno Pehubungan Negeri Terengganu kini berada di kawasan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi kempen pilihan raya tersebut.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri, Senator Hajjah Fatimah Hamat berkata, pihaknya diberi tanggungjawab menyusun jadual petugas bagi membantu jentera tempatan terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Terdapat 19 kampung membabitkan empat peti undi iaitu peti undi Kampung Sungai Dusun, Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi dan Ladang Nigel Gardner,” katanya dalam pertemuan dengan Teganukita hari ini.

Satu majlis taklimat telah diadakan petang semalam antara petugas pilihan raya dengan ketua-ketua cawangan di dalam peti undi serta mengatur jadual gerak kerja bertemu pengundi.

“Wanita akan sampaikan amanat pemimpin tertinggi parti, agar penduduk tempatan terus menyokong dasar-dasar kerajaan BN demi untuk kesejahteraan masyarakat seluruhnya,” katanya.

Katanya, di samping kunjungan rumah ke rumah, bertanya khabar dan beramah mesra Wanita turut menyertai program yang diatur pemimpin tempatan di kawasan ini.

“Saya harap dengan kerjasama tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri usaha Wanita mampu memberi harapan kepada BN untuk merampas kerusi P094 Hulu Selangor ini,” katanya.

TEGANUKITA