Halaman

14 April 2010

Sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 (Hari Keempat)


Menteri Besar berbincang sesuatu dengan ahli DUN termasuk Speaker DUN ketika sesi rehat pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Generasi Kedua Felda Tidak Dipinggir

Kerajaan negeri tidak pernah melupakan nasib generasi kedua Felda yang tidak mempunyai tempat tinggal sebaliknya berusaha menyediakan kawasan perumahan kepada mereka yang memerlukan kediaman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, beberapa kawasan dikenalpasti ialah bagi pembinaan rumah untuk generasi Felda ialah di Jabor, Perasing, Kemaman.

“Penempatan ini akan disi oleh anak peneroka dari Felda Neram Satu hingga Empat dan Felda Cherol Satu hingga Tiga,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di Sidang Dewan Undangan Negeri yang masuk hari keempat hari ini (8 April).


Keakraban ditunjukkan Dato' Ahmad Said (Wakil Kijal), Dato' Seri Idris Jusoh (Wakil Jerteh) dan Wahid Endut (Wakil Wakaf Mempelam).

Dato’ Ahmad memberi jaminan, kerajaan sentiasa melihat dari semasa ke semasa dan sedia memberi kerjasama kepada pengurusan Felda untuk membuka penempatan baru kepada generasi kedua Felda.

Beliau turut memaklumkan sehingga ini terdapat 48, 594 hektar tanah telah diluluskan kepada pihak Felda seluruh negeri untuk dimajukan dan sejak 1990 hingga 2010 tiada lagi kemasukan peneroka baru Felda.

Menjawab soalan tambahan daripada wakil Pas Wakaf Mempelam mengenai masalah yang timbul di rancangan tanah Felda, Dato’ Ahmad berkata kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.


Tiga wakil rakyat BN berbincang sesuatu pada hari terakhir Persindangan Dewan Undangan Negeri.

Namun begitu, Dato’ Ahmad melahirkan rasa tidak senang kerana ketika peneroka Felda menerima hasil merosot akibat kejatuhan harga getah dan kelapa sawit pemimpin pembangkang datang menghasut peneroka supaya membenci kerajaan sebaliknya ketika peneroka dapat hasil lumayan pemimpin pembangkang berdiam diri.

Beliau seterusnya meminta pemimpin pembangkang turut sama membimbing generasi Felda supaya tidak terlibat dengan gejala sosial dan tidak sekadar masuk ke Felda menghasut peneroka tentang keburukan kerajaan untuk meraih undi.

Ketika menjawab soalan tambahan wakil Pas Ladang, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar, Menteri Besar memberitahu masih terdapat 15,132.87 hektar tanah yang dimajukan oleh Felda tidak dimasukkan peneroka.

“Dalam keadaan sama terdapat 2,840 hektar tanah kerajaan lagi yang diserahkan kepada Felda tetapi belum dimajukan oleh agensi itu,” katanya.

Justeru itu katanya, kerajaan telah mengadakan dua kali rundingan dengan pihak Felda dan meminta supaya dimasukkan peneroka di mana ianya akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan miskin tegar di negeri ini.


Berehat sebentar sambil bertegur sapa sebelum menyambung semula Persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Dua syarat diberi kepada Felda iaitu masuk peneroka baru dan bayar premium kepada kerajaan negeri kerana Terengganu adalah satu-satunya negeri di negara ini yang tidak pernah menerima premium daripada Felda setelah menolak pemberian Felda sebanyak RM45 juta ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar,” katanya.

Katanya, berpegang kepada penjanjian asal dengan pihak pengurusan Felda untuk memasukkan peneroka serta beri jumlah tertentu dari keuntungan Felda kepada kerajaan negeri namun masih belum ada penyelesaian sehingga ini.

Lesen Balak Dibekukan

Kerajaan negeri memutuskan supaya tiada sebarang lesen penebangan balak akan dikeluarkan kepada mana-mana individu bermula 1 Jun depan, bertujuan mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk hakisan teruk dan pencemaran alam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, tindakan itu adalah wajar kerana kebanyakan mereka yang memohon lesen penebangan tidak menepati syarat dan hanya untuk kepentingan diri sendiri.

“Untuk keadilan, kerajaan negeri akan menawarkan tender kepada mana-mana syarikat yang berminat dengan mengenakan syarat tertentu termasuk mempunyai kepakaran dan kilang kayu sendiri.

“Langkah itu, tidak mendatangkan sebarang kerugian kepada kerajaan sebaliknya dapat mengurusnya secara terancang,” katanya ketika sesi pergulungan Sidang Dewan Undangan (DUN), hari ini (8 Mac).

Dato’ Ahmad berkata, dia menolak dakwaan Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) yang menyatakan terlalu banyak kawasan balak diteroka dalam masa terdekat ini sehingga berlakunya lambakan balak dan tiada pasaran untuk tujuan itu.


Tiga wakil rakyat mungkin berbincang mengenai hak rakyat walaupun mereka berlainan parti.

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT), seluas 33,916 hektar tanah diluluskan untuk penebangan balak pada 2003; 15,698 hektar (2004); 13,369 hektar (2005); 12,406 hektar (2006); 14,424 hektar (2007); 8,650 (2008); 6,794 (2009) dan hanya seluas 2,845 hingga Mac 2010.

Menurutnya, Pusat Pelupusan Sampah di Kubang Ikan akan dipindahkan Kampung Tok Poh, Kuala Terengganu dalam masa terdekat. Kerja-kerja mengukur tanah yang membabitkan kawasan seluas 35 hektar pun selesai dijalankan.

“Selepas selesai urusan itu, kemudahan infrastruktur lain di kawasan Dewan Undangan Negeri, Tepoh akan dibangunkan berikutan kerajaan negeri sudah membuat permohonan di bawah RMK 10 berjumlah RM10 juta,” katanya yang menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh.



TEGANUKITA