Halaman

06 April 2010

e-Book Untuk Penghidap Talasemia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad bersama YB Ahmad Razif dan YB Dr Abdul Rahman bermesra dengan kanak-kanak di Sekolah Kita Pusat Rawatan Harian Pediatrik HSNZ selepas menyampaikan e-Book. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kanak-kanak menghidap talasemia di negeri ini tidak pernah terpinggir dalam menikmati nilai tambah arus pendidikan perdana melalui penggunaan e-Book walaupun pesakit berkenaan perlu menghabiskan banyak masa di hospital.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyerahkan sepuluh unit e-Book kepada kanak-kanak di Sekolah Kita Pusat Rawatan Harian Pediatrik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam (6 April).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pesakit talasemia yang berada di Sekolah Kita (Pusat Rawatan harian Pediatrik, HSNZ) bagi memastikan mereka mendapat peluang yang sama sebagaimana pelajar normal dan sihat yang lain.


Majlis penyerahan e-Book oleh Menteri Besar Terengganu.

Katanya, sebahagian besar pesakit itu masih mengikut sesi pelajaran seperti biasa dan mungkin penggunaan bahan pembelajaran seperti buku menyebabkan mereka mudah bosan.

“Jadi kita gunakan pendekatan ini dengan memberikan e-Book supaya mereka lebih berminat untuk belajar. Penyerahan ini membolehkan mereka mengulangkaji, membaca dan minat yang mendalam untuk berdepan dengan peperiksaan akan datang sebab dalam e-Book ini ada buku teks Tahun Empat, Tahun Lima dan Enam,“kata beliau sejurus menyerahkan e-Book kepada Ketua Jabatan Pediatrik HSNZ, Dr Jimmy Lee dan melawat pesakit yang ditempatkan di pusat rawatan itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Abdul Rahman Mokhtar dan Pengarah HSNZ, Dr Nordiyanah Hassan.


Dato’ Ahmad berkata, pendedahan dan pengajaran cara penggunaan e-Book kepada pesakit di pusat rawatan itu akan dipantau oleh sukarelawan yang sedia berkhidmat dan meluangkan masa mengajar mereka pada waktu tertentu.


Kanak-kanak sedang menggunakan e-Book.

“Ada individu bertindak secara sukarela termasuk pelajar Tingkatan Enam dari sebuah sekolah di Marang mengajar mereka yang mana ia menjadi satu daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengehadkan jumlah pengagihan e-Book sebaliknya bersedia menghantar alat pembelajaran elektronik itu ke mana-mana hospital dan pusat rawatan yang memerlukan berdasarkan keperluan semasa.

Untuk rekod, Sekolah Kita di HSNZ diasaskan Syarikat ExxonMobil pada Mei 2005 mampu menempatkan 20 hingga 30 pesakit kanak-kanak pada satu masa, di mana sebahagian daripada mereka merupakan pengidap talasemia.

Penubuhannya bagi memberi kesinambungan pembelajaran bagi pelajar yang menerima rawatan di HSNZ sekaligus mempercepatkan penyembuhan pesakit dan mengisi waktu kanak-kanak itu dengan aktiviti berfaedah.

TEGANUKITA