Halaman

17 March 2010

Hadiah Berganda Kekal Juara MSSM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri bersedia melipatgandakan hadiah kepada atlet yang berjaya membawa kontinjen Terengganu kekal juara buat kali kedua Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata walaupun untuk mempertahankan kejuaraan amat sukar berbanding meningkatkan kejayaan, kerajaan negeri berkeyakinan atlet Majlis Sukan-Sukan Terengganu (MSST) mampu melakar kejayaan dan mengharumkan nama negeri untuk kali kedua.

Katanya, kerajaan bersedia memberi apa sahaja pengiktirafan kepada atlet yang berjaya dalam bidang sukan yang dikuasai mereka asalkan mereka mampu menempa nama dan menghasilkan kejayaan yang terbaik.

Menurut Dato’ Ahmad, bagi mencapai kejayaan yang disasarkan atlet perlu mengekalkan disiplin, kesungguhan dan momentum stamina yang tinggi.

“Sebagaimana kejayaan yang dibuat oleh pelumba basikal negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan memenangi Raja Pecut yang pertama sejak 15 tahun penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Kerajaan mengiktiraf kejayaan beliau dan menganugerahkan sebidang tanah dan RM10,000 atas pencapaian luar biasa anak Terengganu itu sekaligus membuktikan kerajaan bersedia memberi apa sahaja berdasarkan pencapaian atlet dalam bidang mereka,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan MSST 2009, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Mac).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Menteri Besar turut mengharapkan atlet yang masih di bangku sekolah seperti atlet MSST bukan hanya jaguh dalam sukan sebaliknya turut mengutamakan pelajaran.

Katanya, gesaan itu bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melihat Terengganu sebagai negeri anjung ilmu yang terbukti berjaya dihasilkan dengan pencapaian terbaik peringkat nasional bagi keputusan tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu.

Malah, pada masa yang sama, kejayaan dalam bidang sukan di peringkat negeri, negara serta dunia membuktikan Terengganu berupaya menjadi kuasa baru dalam sukan negara.

Dalam majlis itu, Muhammad Zulkifli Razak, 17, atlet sepak takraw dari Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN), Setiu dianugerahkan Olahragawan Tahun 2009, manakala Olahragawati Tahun 2009 menjadi milik Fazila Umirah Mazlan, 16, atlet olahraga juga dari SSTBN.

Manakala kategori Tunas Harapan (lelaki) 2009, Nur Shahira Muliadi, 13, (olahraga) dari SSTBN dan Tunas Harapan (perempuan) 2009, Zulbahrin Mat Asri, 13 (gimnastik) kebangsaan Bukit Payong, Marang.


Untuk rekod, dalam edisi kejohanan ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor tahun lalu, Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga MSSM selepas menamatkan saingan.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11 emas, tujuh perak satu gangsa dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11 emas, lima perak dan lapan gangsa.

Selain johan keseluruhan kejohanan Olahraga MSSM kali pertama dalam tempoh 51 tahun itu, Terengganu juga muncul johan MSSM 2009 dalam bola baling, sepak takraw, sofbol dan hoki.

Seramai 42 atlet MSST mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sepanjang 2009 termasuklah sukan paragames (seorang atlet); badminton (seorang); footvolley (dua); basikal (dua); ragbi (dua); judo (dua); hoki (tiga); sepak takraw (enam); olahraga (sepuluh) dan bola sepak 13 atlet.

TEGANUKITA