Halaman

02 February 2010

Skim Ganti Payu Dara Melalui Dana Khas

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Mungkin ada yang mencuit hati Dato' Ahmad sehingga tertawa besar ketika melawat Mohd Nor Ibrahim yang menghidap penyakit paru-paru kronik di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM81 ribu sejak 2007 bagi merawat penyakit kanser payu dara dengan menggantikan payu dara palsu menerusi peruntukan kebajikan sosial perubatan Dana Khas Persekutuan.

Daripada jumlah itu, seramai 115 pesakit menjalani skim itu melibatkan satu kes pada 2007 dengan peruntukan RM710, diikuti 75 kes (2008) dengan peruntukan RM49,433, manakala pada tahun lalu 39 kes dengan kos kesluruhan RM31,330.


Menteri Besar dan isteri berbincang sesuatu dengan beberapa doktor dari HSNZ.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata skim menggantikan payu dara palsu menerusi menerusi pakar perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu wanita negeri ini yang berdepan dengan masalah kanser dan boleh mengancam nyawa.

“Kepada mereka yang mengalami masalah payu dara jangan biar lama, supaya segera jumpa doktor dan boleh kita gantikan alat yang palsu, kalau dibiarkan lama boleh mengancam nyawa.

“Saya harap ada kesedaranlah. Kadang-kadang orang kampung mereka tak tahu, berdiam diri sebab tidak bergaul dan sekiranya penyakit ini sampai tahap empat ia boleh mengancam nyawa,” katanya ketika melawat seorang pesakit paru-paru kronik, Mohd Nor Ibrahim, 60, di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, petang semalam (28 Januari).

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud meluangkan masa kira-kira sejam melawat Mohd Noor yang sudah lebih 20 tahun menderita penyakit itu, selain turut mengidap kencing manis, lelah, darah tinggi, cacat penglihatan dan masalah jantung.

Dalam lawatan itu, kerajaan negeri menerusi HSNZ menyampaikan mesin `oksigen concentrator’ yang berharga kira-kira RM5,000 untuk kegunaan Mohd Noor.

Sumbangan itu merupakan yang ke-23 daipada HSNZ melalui Kebajikan Sosial perubatan Dana Khas Persekutuan kepada pesakit paru-paru kronik di seluruh Terengganu.


Mohd Nor dibantu isterinya memakai alat `oksigen concentrator' .

Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan peralatan perubatan bagi meringankan beban pesakit tanpa mereka perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya percaya bahawa Kerajaan Terengganu sentiasa memberi perhatian kepada rakyat yang mengalami masalah penyakit kronik. Macam tahun lepas kita peruntukkan lebih kurang RM2 juta bagi membantu membeli pelbagai jenis alat perubatan secara langsung kepada pesakit.

“Macam tahun ini sahaja 23 unit mesin oksigen (oksigen concentrator), di mana mereka tidak perlu lagi berulang-alik dari rumah ke hospital dan saya kira sumbangan sebegini tidak dilakukan oleh negeri lain,” katanya.

Selain itu, bemula 2010 kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta bagi membiayai pembedahan penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan kanser tanpa mengira sosioekonomi dan fahaman politik pesakit.

TEGANUKITA