Halaman

13 February 2010

Pendidikan Jadi Pengukur Kejayaan

Oleh: Suriati Ali

“Tumpuan utama pemimpin sama ada peringkat kampung atau pusat adalah dalam bidang pendidikan kerana mengetahui ia menjadi mengukur dan menentukan kejayaan anak bangsa kita di masa depan.

“Bagi mencapai matlamat yang diinginkan, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dan UMNO supaya cemerlang seiring dalam pendidikan, termasuk memberi perhatian terhadap perkembangan ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” kata Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berucap di Program Juara Rakyat, Dewan Majlis Daerah Besut (MDB)), Gong Kemuntong, Besut, hari ini (13 Februari).

Turut hadir , Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Tan Sri Muhyiddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sekolah yang menampilkan kecemerlangan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah bagi daerah Besut.

Sebagai hadiah untuk terus memperkasakan sekolah, Tan Sri Muhyiddin bersetuju meluluskan RM400 ribu kepada dua sekolah menengah di daerah itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud dan Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam dunia yang serba canggih ini, fokus utama kerajaan adalah membantu rakyat supaya cemerlang dalam semua aspek terutama pendidikan.

“Empat Langkah awal telah dilaksanakan iaitu menumpukan bidang penting ini di peringkat awal usia lagi, di mana mempastikan setiap kanak-kanak memndapat pendidikan di pra sekolah sebelum melangkah ke alam persekolahan yang sebenar.

“Murid di Tahun Satu hingga Tiga wajib menguasai sistem Membaca, Mengenal dan Mengira (3M), mengenalpasti setiap tahun mempunyai sekolah berprestasi tinggi dan terakhir memberi anugerah kepada guru besar atau pengetua yang berjaya memberi imej terbaik kepada sekolah masing-masing,”katanya.

Beliau berkata, sesuatu kejayaan hendaklah diiringi dengan usaha dan minat meneroka, jika perkara perkara itu tidak dipenuhi pelajar, ia akan mencapai kegagalan walaupun kerajaan membantunya dengan peruntukan jutaan ringgit.

“Pelajar sekurang-kurangnya mampu menguasai dua bahasa penting jika serius ingin berjaya seperti bangsa lain. Bahasa Inggeris wajar didalami kerana serata negara mengutamakannya untuk pelbagai tujuan,” katanya.

TEGANUKITA