Halaman

10 February 2010

Adun Ajil Terima SMS Ugutan Dari Nombor Tidak Dikenali

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Dato’ Rosol Wahid, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, lebih kurang jam 11.25 malam pada 13 April, tahun lalu.
Beliau merupakan saksi keempat kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Adun tahun lalu.

Dato’ Rosol ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, beliau menjelaskan ketika SMS itu diterima, beliau sedang minum di sebuah kedai makan di Jalan 23 Kuala Berang-Kuala Terengganu.

Menurut beliau, SMS itu diterima dari penghantar yang tidak dikenali menggunakan nombor + 31234567890.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau sejurus mendapat SMS itu, beliau menjelaskan pada mulanya tidak merasa apa-apa kerana nombor itu tidak diwakili oleh sesiapa.

Bagaimanapun, sejurus kemudian beliau menerima panggilan daripada YB Zakaria (Mohd Arifin Abdullah yang juga saksi kedua) yang menanyakan beliau sama ada menerima atau tidak SMS yang sama.

“Selepas diceritakan kepada saya yang dia menerima SMS ugutan dan saya maklumkan kepada beliau saya juga terima SMS yang sama. Bagaimanapun, saya menjelaskan SMS berkenaan saya terima dari nombor +31234567890, manakala dia terima SMS dari nombor berlainan daripada apa yang saya terima.

“Dia ada bagitau nombor tapi saya tak ingat nombor itu, cuma yang saya ingat nombor itu dimaklumkan kepada saya milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda),” katanya .

Selepas mendapat maklumat daripada YB Zakaria, beliau kemudiannya berpakat untuk membuat laporan polis berhubung SMS ugutan itu dan diminta oleh YB Zakaria supaya kes itu sama-sama dilaporkan di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun membuat laporan di Kuala Berang memandangkan jarak yang jauh untuk ke Kuala Terengganu serta waktu yang sudah lewat malam ketika itu.

Dato’ Rosol yang merasakan SMS itu suatu ugutan dan boleh menyebabkan nyawa terancam selepas diberitahu identiti pengirim SMS berkenaan dan suasana politik negeri Terengganu ketika itu, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 12.45 pagi di Balai Polis Kuala Berang..

Ketika diminta penjelasan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai senario politik ketika itu, beliau menjelaskan ketika itu Persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berjalan dan ura-ura atau cakap-cakap yang mengatakan YAB Menteri Besar akan digulingkan melalui usul undi tidak percaya. Oleh kerana itu, mungkin ada kebimbangan SUSK mengenai perkara itu berlaku menyebabkan SMS itu dihantar.

Beliau kemudiannya tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas laporan polis dibuat pada malam kejadian (13 April) itu.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 012-9838307 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah sebelum disahkan oleh saksi keempat itu.

Dato’ Rosol memberitahu mahkamah, jika SMS itu dihantar oleh Datuk Dr Ramzi, beliau tidak berasa apa-apa dan tidak menganggap itu sebagai ugutan.

Beliau juga bersetuju bahawa SUSK merupakan orang yang rapat dengan YAB Menteri Besar dan disebabkan SMS itu ada kaitan dengan SUSK, jika undi tidak percaya itu benar-benar berlaku dan berjaya, maka kesan negatif kepada SUSK dan jika tidak berjaya, SUSK tidak akan mendapat apa-apa faedah.

Ketika menjawab soalan terakhir Timbalan Pendakwa Raya, Dato’ Rosol juga bersetuju bahawa SUSK tidak akan menjatuhkan Menteri Besar kerana beliau mencari makan dengan Menteri Besar.

Ahmad Ramzi sebelum itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia di dakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding sebelah pagi, Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan supaya Ahmad Ramzi dibebaskan dan dilepaskan kerana pihak pendakwa mendaftarkan kes tersebut sebagai kes saman, sedangkan ia melibatkan kes jenayah.

Dr Ahmad Ramzi bagaimanapun didakwa semula atas tuduhan yang sama dan kes tersebut kini didaftarkan di bawah kes jenayah dan tertuduh kini perlu berada di dalam kandang mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Perbicaraan bersambung semula 31 Mei ini.