Halaman

14 January 2010

PTG Terengganu Jabatan Terpantas Urus Tanah

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad berbual dengan kakitangan PTG ketika meninjau jabatan itu di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pejabat Tanah Galian (PTG) Terengganu muncul sebagai pejabat pentadbiran tanah yang pertama di Malaysia berjaya menyelesaikan urusan pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh hanya beberapa jam atau maksima sehari.

Urusan pendaftaran itu melibatkan proses pindah milik, melepas gadaian, memasukkan tegahan dan pertukaran nama pesaka kecil menerusi kaunter ekspres di PTG dalam tempoh sehari tanpa perlu menunggu permintaan pelanggan.


Dato' Abdul Razak menemani Dato' Ahmad memotong riben merasmikan kaunter pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh satu hari.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kejayaan yang dicapai PTG sebagaimana pencapaian Jabatan Imigresen yang berjaya menyiapkan permohonan pasport dalam tempoh masa sehari, sedangkan PTG melibatkan pengurusan yang lebih rumit.

“Tetapi berkat kerja bersungguh-sungguh dan `brainstoming’ antara pengarah, pegawai dan kakitangannya mereka dapat melaksanakan tugas ini dengan sempurna.


Pejabat PTG yang kondusif dengan sistem fail teratur, menyimpan fail-fail lama yang bersistem.

“Saya juga merasa bangga suasana persekitaran pejabat PTG yang kondusif sekali, dengan sistem fail teratur, penyimpanan fail-fail lama dan sistem stor serta berdasarkan apa yang kita lihat tadi memang menakjubkan,” kata beliau selepas taklimat PTG menuju ke arah kecemerlangan sempena pelancaran pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh satu hari, di PTG, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini (13 Januari).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, semua exco kerajaan dan Pengarah PTG, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Menteri Besar berharap proses urusniaga yang cekap dan lancar itu dapat diperkembangkan ke peringkat daerah supaya semua rakyat mampu menikmati perkhidmatan terbaik dari jabatan kerajaan.

“Segala halangan pada peringkat awal bagi merealisasikan matlamat itu dapat diselesaikan jika memiliki sikap ingin berubah untuk melihat kemajuan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat maka kita boleh melaksanakannya dengan sempurna,” katanya.


Taklimat mengenai pejabat PTG.

Menurut Dato’ Abdul Razak Ismail, pihaknya mampu menyelesaikan 30 kes dalam masa sehari sejak awal Disember lalu dan pencapaian itu akan dikekalkan menerusi pengawasan serta pemantauan yang berterusan daripada ketua jabatan.

Selain itu, PTG turut mendapat pengitirafan pensijilan ISO 9001:2000 pada Mei 2008, ISO 9001:2008 pada Ogos 2009, Sijil Persekitaran Berkualiti 5S pada 19 April 2009.

Sebelum itu, PTG turut menerima Sijil Pendaftaran Sistem Kualiti MS ISO 9000 Perkhidmatan Awam Malaysia (MS ISO 9002:1994) (Skop Pendaftaran) dan tempat pertama bagi Anugerah Inovasi/Kualiti Pentadbiran Tanah 2003.

UKOM