Halaman

12 January 2010

Program Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) - Program English Teaching Assistant (ETA) yang menggunakan khidmat pelajar cemerlang Fulbright Scholars dari Amerika Syarikat akan diteruskan dalam usaha membantu pelajar Terengganu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berkata seramai 14 pelajar berkenaan akan dibawa ke Terengganu menerusi pertukaran pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) yang akan diuruskan kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan berkenaan.

"Program kali ini merupakan kali kelima diadakan yang sehingga kini telah membabitkan lebih 50 pembantu pengajar Bahasa Inggeris diambil dan ditempatkan di sekolah-sekolah kawasan bandar dan pedalaman," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurutnya, kesemua pelajar berkenaan yang akan tiba di Terengganu mulai Khamis ini, terdiri daripada pelajar pelbagai kolej dan universiti di Amerika Syarikat termasuk dari Universiti Havard.

Beliau berkata kumpulan berkenaan akan diletakkan di setiap daerah setelah mereka mengikuti program orientasi selama dua minggu di sini.

--BERNAMA