Halaman

07 December 2009

Produk IKS Terengganu ke Sabah dan Sarawak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk meluaskan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) Terengganu merentasi Selat Melaka menerusi francais T’Shoppe yang bakal beroperasi di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamad Awang Tera, berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mengembangkan pasaran produk IKS ke luar Semenanjung Malaysia bagi memastikan produk tempatan mendapat tempat dan dikenali di seluruh Malaysia.

Katanya, menerusi T’Shoppe produk tempatan dapat diperkenalkan ke luar Terengganu, sekaligus mampu memperkasakan usahawan tempatan dalam sektor peruncitan, selain menggalakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sehingga kini, terdapat tiga rangkaian T'Shoppe di Gong Kapas yang dibuka oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) selepas Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Menerusi T’Shoppe juga, produk yang terkenal di Sarawak seperti produk halia, rumpai laut, kayu manis dan keropok amplang umpamanya dapat ditempatkan di Terengganu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mensasarkan 90 buah rangkaian kedai T'Shoppe akan beroperasi di seluruh negara sehingga 2013.

Menjelang akhir tahun ini, empat lagi rangkaian T'Shoppe akan dibuka di Terengganu iaitu di Kelulut, Marang, Geliga (Kemaman), Paka (Dungun) dan Gong Kemuntong (Besut).

Lapan kedai T'Shoppe lagi akan dibuka di luar Terengganu iaitu empat di Johor, tiga di Selangor dan sebuah di Melaka, selain memcari ruang perniagaan di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak

"Saya mahu memastikan peluang dan ruang terhadap produk IKS mendapat tempat di luar Terengganu termasuk di Sabah dan Sarawak dan pendekatan terbaik menerusi T’Shoope yang menjadi tempat untuk memasarkan barangan keluaran mereka kerana kita menyediakan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pemasaran produk (TP3).

"Kita harap pengusaha IKS menjaga mutu pengeluaran, pembungkusan serta memberi layanan yang baik dan mesra kepada pelanggan," katanya ketika diwawancara, baru-baru ini.

Dalam memastikan usaha itu terlaksana, Dato’ Mohamed dan Pengurus Besar YPU Terengganu, Haji Azmi Razik dan pihak terlibat dengan ` Terengganu Showcase 2009 sempena Borneo International Trade Fair (BITF 2009), di Kota Kinabalu, Sabah bermula 13 hingga 16 November lalu turut menyertai program sampingan berkaitan kerjasama ekonomi antara Terengganu-Sabah.

BITF 2009 turut memberi peluang rombongan dari Terengganu mengadakan lawatan kunjung hormat ke pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Dalam pada itu, program turut melibatkan majlis penyerahan sijil fancais Noor Arfa Batek kepada Diamond Vacation dan penyerahan bekalan pakaian seragam batik oleh Seem Noor batek kepada Sekolah menengah Kebangsaan Kelombong, Sabah.

Selain itu, rombongan turut mengikuti majlis penyerahan surat pelantikan pengedar tunggal peralatan batik oleh STR Sdn Bhd kepada Cemerlang Scientific, Sabah.

Program `Biz Matcing’ Usahawan Terengganu-Sabah pula melibatkan usahawan dan agensi seperti Mara, PMINT, Ketengah, Koperasi Yayasan Islam Terengganu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Fama, Tourism Malaysia, Persatuan Pembatik, Caknqa Sdn Bhd dan Koputera yang membawa produk masing-masing untuk diketengahkan ke pentas global.

UKOM