Halaman

01 November 2009

Pemangku Raja Terengganu Berangkat Ke Kempori Diraja

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan bersama Tengku Nadhirah merangkak melepasi halangan pada Kempori DiRaja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan kekandanya Tengku Nadhirah Zahrah ke Kempori Diraja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir memberi suntikan semangat kepada 1,200 peserta dari sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.

Peserta tambah teruja apabila berpeluang mengadakan aktiviti bersama putera dan puteri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, sepanjang empat hari tiga malam program berlangsung.


Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan (tengah) bersama Tengku Nadhirah diberi taklimat oleh Ahli Majlis Pengakap, Ariffin Othman (kanan) mengenai simpulan ikatan pengakap

Pelbagai aktiviti diadakan saperti jambatan monyet, permainan wau, masakan rimba dan pameran pengakap negeri Terengganu di mana semua peserta menyertai aktiviti yang diatur pihak penganjur dengan penuh rasa tanggung jawab dan semangat yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempori Diraja, merangkap Pengerusi Jawatankusa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber negeri, YB Encik Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Encik Othman Ismail berada bersama peserta sepanjang program berlangsung.

Ternyata keberangkatan Pemangku Raja ke majlis tahlil dan solat Isyak serta menyertai aktiviti malam unggun api bersama peserta mencatat sejarah tersendiri dan meninggalkan kenangan manis kepada pihak penganjur dan para peserta.


Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan (tengah) bersama Tengku Nadhirah berkenan mencuba permainan terompah gergasi pada Kempori DiRaja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir

“Aktiviti yang disediakan memang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta dalam usaha membentuk mereka supaya mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung harap dengan pertolongan orang lain,” kata Pesuruhjaya Pengakap Terengganu, Encik Othman Ismail.

Beliau seterusnya berharap peserta memanfaatkan program yang diatur oleh pihak penganjur sebaik mungkin, bagi menguji ketahanan diri kerana aktiviti lasak yang disediakan berguna untuk membina masa depan yang lebih mencabar.

UKOM