Halaman

11 November 2009

MBKT Berubah Wajah Dalam RMK-10

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar turut melancarkan buku Pelan Strategik dan Pelan Komprehensif Sumber Manusia pada sambutan Hari Kualiti MBKT di Stadium Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sebuah jambatan yang menghubungkan Losong, Pulau Sekati dan Teluk Pasu akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) yang bermula tahun hadapan.

“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-9, tetapi terdapat rombakan untuk melebarkan jalan, jadi penilaian semula perlu dibuat membabitkan urusan pengambilan balik tanah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita di majlis sambutan hari kualiti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini (10 November).



Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mat Razali Kassim; Pengarah Urusan Sirim Berhad, Dato’ Mariani Mohamad dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Razali Husein.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan dalam bandar bermula dari kampung Ladang Tok Pelam hingga ke Kampung Tanjong Kapor dalam usaha merubah wajah bandar raya ini dengan anggaran kos mencecah ratusan juta ringgit.

“Dengan pembangunan yang dirancang diharap tidak ada lagi kekotoran atau bangunan lama yang terbiar dan mencacatkan pemandangan selama ini terutama di kawasan pesisir pantai.

“MBKT juga akan memiliki bangunan sendiri setinggi 18 tingkat di kawasan hadapan plaza Kampung Tanjung Kapor akan dibina tahun depan dan kini dalam peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga merancang membina tempat letak kereta lima tingkat tahun depan di hadapan Wisma Darul Iman bagi mengatasi masalah parkir dan memberi keselesaan kepada kakitangan awam serta orang ramai yang ingin membuat urusan di jabatan-jabatan kerajaan berhampiran.

Dalam majlis tersebut Menteri besar turut melancarkan Buku Pelan Strategik dan Pelan Komprehensif Sumber Manusia dan penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 oleh Sirim Berhad serta penyampaian Sijil Amalan 5S MBKT oleh MPC.


Ab,dillah Awang, pekerja MPKT menerima Anugerah Datuk Bandar daripada Dato' Ahmad Said sambil disaksikan Dato' Mat Razali Kassim.

Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) MBKT, Encik Ab,dillah Awang Besar, 50, diumumkan sebagai penerima Anugerah Datuk Bandar dan menerima hadiah wang tunai RM2,000, plak serta sijil penghargaan.

Seramai 77 kakitangan MBKT di pelbagai unit dan pangkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008.

UKOM