Halaman

10 October 2009

RM100 Juta Atasi Masalah Banjir Seluruh Negara

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan kira-kira RM100 juta tahun ini bagi memantapkan sistem penyelenggaraan dan menangani masalah banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup berkata peruntukan itu merupakan yang pertama kali disalurkan bagi tujuan itu di bawah program rangsangan ekonomi negara.

"Ia juga untuk mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada parit dan longkang yang tersumbat di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integrasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) 2009 di sini, Selasa.

Beliau berkata sebanyak RM7 juta daripada peruntukan itu disalurkan ke Terengganu untuk urusan penyelenggaraan.

Kurup berkata JPS akan mengadakan program turun padang bagi memantau sistem saliran di seluruh negara mulai 15 Okt ini sebagai persediaan awal bagi mengenalpasti kawasan yang mempunyai masalah sistem saliran dalam usaha membendung banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Inovasi yang dimenangi JPS Pulau Pinang, Anugerah Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja kepada JPS Selangor, Anugerah Teknologi Maklumat Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri yang dimenangi JPS Terengganu.

Anugerah Kualiti Pengurusan Projek Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri pula dimenangi JPS Selangor dan Anugerah Kualiti Ketua Pengarah JPS Malaysia 2009 kategori negeri dimenangi JPS Pulau Pinang.

-- BERNAMA