Halaman

10 October 2009

Perhilitan Pandang Serius Ancaman Gajah Di Dungun

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengkategorikan gajah-gajah di beberapa kawasan di Dungun sebagai satu ancaman serius dan haiwan berkenaan perlu ditangkap.

Pengarah Perhilitan negeri Rozidan Md Yasin berkata terdapat tiga kawasan di daerah Dungun yang mengalami konflik ancaman gajah iaitu sekitar Kuala Jengai, Kampung Raja dan Ulu Kongsi.

Katanya Perhilitan negeri mengenalpasti terdapat antara 10 sehingga 15 ekor gajah yang sering mengganggu kawasan berkenaan.

Sepanjang tahun ini, Perhilitan menerima empat aduan berhubung kejadian haiwan itu merosakkan tanaman penduduk di kawasan itu, katanya.

"Usaha menangkap gajah ini masih belum menunjukkan kejayaan berikutan kurang kerjasama dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan cepat. Sekiranya serangan gajah liar berlaku, kita harapkan penduduk memaklumkan secepat mungkin kepada kita untuk tindakan segera," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Rozidan berkata demikian ketika diminta mengulas kegelisahan penduduk di beberapa buah kampung di Dungun yang mengalami kerugian ribuan ringgit berikutan tanaman pisang, ubi kayu, tebu dan getah yang diusahakan mereka dimusnahkan gajah liar, dengan serangan terbaru berlaku awal minggu ini.

Selain Dungun, beliau berkata gangguan gajah sering berlaku di empat daerah lain iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. Di kebanyakan tempat gangguan adalah kerap dan berulang.

Rozidan berkata sehingga pertengahan Oktober tahun ini, Perhilitan berjaya memindahkan 11 ekor gajah dari kawasan konflik iaitu di Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

-- BERNAMA