Halaman

26 October 2009

Masyarakat Perlu Bijak Rancang Kewangan

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat terutama yang berkeluarga perlu bijak merancang kewangan masing-masing dengan memahami segala hak dan tangungjawab bertujuan mengelak menjadi mangsa penipuan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, ini tanggungjawab yang perlu kita pikul demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan hidup, di samping untuk menghidarkan diri menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said melihat wang kertas dahulu dan sekarang di bilik pameran sempena Minggu Kesedaran Kewangan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Katanya, pengguna yang menghadapi masalah kewangan, termasuk mereka menanggung hutang tinggi; terlibat dalam skim penipuan kewangan dan skim cepat kaya; berhutang dengan `Ah Long’ dan diisytiharkan muflis sering dikaitkan dengan mereka yang gagal menguruskan kewangan dengan baik.

“Golongan pengguna seperti ini mungkin tidak sedar bahawa perkhidmatan berupa bantuan khidmat nasihat telah ditubuhkan di semua institusi kewangan, Bank Negara Malaysia, Biro Pengantaraan Kewangan, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kreadit untuk memberi bantuan serta khidmat nasihat secara percuma.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk meningkat kesedaran dan kemahiran. Sememangnya menjadi hasrat kerajaan agar semua pengguna dibekalkan dengan pengetahuan kewangan yang mencukupi,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Kewangan 2009, di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir sempena program tiga hari itu yang bermula 22 Oktober.

Lebih 60 agensi menyertai program itu dengan membuka gerai pameran untuk memprosmosi aktiviti serta menawarkan perkhidmatan kaunseling percuma.



Dato’ Ahmad turut memberitahu, apa yang penting, seseorang pengguna perlu bijak mempratikkan budaya dan kemahiran merancang kewangan yang betul dalam kehidupan harian..

“Ini dapat membantu mereka supaya sentiasa berhemah dalam setiap perbelanjaan, simpanan mahupun pelaburan dan seterusnya menjamin kewangan yang kukuh dan selesa sehingga ke hari tua kelak.

“Ibu bapa pula perlu mendidik anak-anak supaya tanamkan sikap suka menabung dan bijak mengurus wang,” katanya



Katanya, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga perlu mempunyai pengetahuan asas tentang produk dan perkhidmatan kewangan masing-masing bertujuan terus maju dan berdaya saing.

UKOM