Halaman

09 October 2009

Khidmat Gemilang, Kemajuan Jabatan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kakitangan YT yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang bersama Dato' Mazlan Ngah selepas majlis penyampaian hadiah.

Kakitangan sektor awam harus sedar perkhidmatan mereka kini mempunyai daya saing yang tinggi, mampu memberi nilai tambah dan dapat menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang penuh gemilang untuk kemajuan jabatan serta pembangunan negeri dan negara.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Mohd Kamaru Al-Amin Ismail, berkata ciri perkhidmatan awam yang gemilang termasuk ketepatan masa dalam memberi perkhidmatan, ketepatan fakta dan maklumat yang diberikan kepada pelanggan serta sentiasa responsif kepada kehendak pelanggan.

Selain itu, kakitangan awam juga perlu menyempurnakan tugas dengan cara yang adil, jujur dan bersikap baik hati, sopan-santun ketika berurusan dengan pelanggan, menepati temu janji yang dibuat dengan pelanggan, tidak melakukan pembaziran sumber, menghargai masa, berhemat serta memiliki peribadi mulia.

“Oleh itu, kita haruslah terus berusaha mempertingkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam setiap aspek tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan khususnya merancang, menggerak, melaksana dan memantau setiap program serta aktiviti bahagian atau jabatan selaras dengan objektif dan matlamat YT.

“InsyaAllah hasrat kerajaan negeri bagi `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang selari dengan hasrat kerajaan persekutuan iaitu `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ akan tercapai,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2009 dan Majlis Hari Raya Aidilfitri , di Dewan Besar, YT, Kuala Terengganu, kelmarin (5 Oktober).



Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah yang turut hadir dalam majlis tersebut kemudiannya menyampaikan hadiah kepada 21 penerima anugerah itu, selain pemberian insentif kepada kakitangan YT yang berkhidmat melebihi 20 tahun.

Haji Mohd Kamaru berkata, setiap perubahan dan pembaharuan di bahagian jabatan sama ada dari aspek sktruktur organisasi, peralatan dan kemudahan pejabat, sistem dan prosedur kerja, teknologi komputer hanya akan membawa kesan yang benar-benar bermakna jika diiringi dengan kesedaran, perubahan sikap dan komitmen jitu terhadap keperluan menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Oleh itu, dalam usaha kita mahu membudayakan perkhidmatan cemerlang dalam YT, maka kita perlu mengkaji semua amalan masa kini dan melakukan penambahbaikan terhadap amalan itu untuk menimngkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan dan `stakeholders’.

UKOM