Halaman

20 October 2009

Kepimpinan Kerajaan Terengganu Makin Mantap

Oleh : Zulkipli bin CW. Putra


Kepimpinan Kerajaan Terengganu kian mantap apabila pucuk pimpinan kawasan Parlimen Setiu berganding bahu mengukuhkan perpaduan sesama mereka. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang, berdasarkan senario terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan perpaduan lebih kukuh di kalangan pemimpin Umno yang menjadi tunggak BN.

Beliau berkata, jika keadaan ini berkekalan, tidak ada ruang bagi pihak pembangkang untuk berkuasa semula di negeri ini, apatah lagi rekod lalu jelas menunjukkan ia gagal mentadbir negeri ini selepas diberi peluang memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Saya boleh katakan Umno akan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kemaman, Besut dan Setiu. Kita juga boleh menang dengan selesa di bahagian-bahagian lain dan seterusnya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan berikutan ikrar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Haji Ramlan Ali, yang berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar dan saf kepimpinan Umno negeri selaras dengan gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, supaya pemimpin dan ahli Umno bersatu bagi menguatkan parti.

Terdahulu Haji Ramlan memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, kerana tindak tanduknya sebelum ini menunjukkan sikap kurang hormat kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapan sempena sambutan Aidilfitri peringkat DUN Jabi, Ramlan melahirkan kekesalannya kerana membelakangi saf kepimpinan bahagian dan negeri dan berjanji ia tidak akan berulang.


Penduduk dalam kawasan Parlimen Setiu menyambut baik kedatangan Menteri Besar Terengganu ke kawasan mereka bagi mengukuhkan silaturrahim.

Sebaliknya, Ramlan yang turut dikaitkan dengan peristiwa memboikot Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama dulu sebagai protes kepada kepimpinan Dato’ Ahmad, memberi jaminan akan membantu menguatkan Umno di semua peringkat.

Menteri Besar berkata, kesediaan Adun berkenaan memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan sekarang ini akan memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Beliau menyifatkan langkah tersebut juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Umno, selaras dengan kehendak Datuk Seri Mohd Najib dan membantu kepimpinan negeri menguatkan kedudukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

UKOM