Halaman

17 August 2009

Zon Pakaian Di Kemaman

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Zon jualan kain, pakaian dan pelbagai barangan kegunaan rumah bakal diwujudkan di kawasan Kemaman Supply Base (KSB) di Kemaman, bagi memudahkan rakyat negeri ini membeli barangan tersebut.

Dengan adanya zon berkenaan yang bertujuan mengimbangi pembangunan Bandar Baru Kijal, penduduk negeri ini tidak perlu lagi ke Nilai, Segamat, Tangkak, Langkawi atau Kelantan bagi mendapatkan barangan bermutu dengan harga berpatutan.


Dato' Ahmad berbual mesra dengan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Ibrahim Jaafar pada majlis makan malam `Semalam Bersama Menteri Besar' di Primula Beach Resort. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan satu kajian dilakukan bagi merealisasikan cadangan tersebut dan pihaknya meminta kerjasama Jabatan Kastam Diraja untuk membantu mempercepatkan proses berkenaan.


Dato' Ahmad bersalaman dengan kakitangan Kastam yang hadir pada majlis makan malam `Semalam Bersama Menteri Besar' di Primula Beach Resort.

“Kerajaan negeri juga menawarkan tanah kepada Jabatan Kastam bagi membina kuarters dan pejabat lebih selesa di Bandar Baru Kijal yang akan menempatkan pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan dan negeri serta kawasan perniagaan, hospital dan kemudahan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam ‘Semalam Bersama Menteri Besar’ sempena Mesyuarat Pengarah Kastam Semalaysia ke-61 di dewan Gamelan Primula Beach Resort, pada 14 Ogos lalu.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri juga merancang pembinaan pembesaran jambatan Sungai Cukai di Bukit Kuang yang kini merupakan punca kesesakan lalu lintas ke kawasan Perindustrian Telok Kalong.

“Dengan pembesaran jambatan tersebut dan diikuti kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Cukai, bolehlah kapal-kapal besar singgah di kawasan berhampiran Bandar Baru Kijal,” kata nya.

UKOM