Halaman

18 August 2009

Hishammuddin Nafi Umno Terengganu Berpecah

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Sebaliknya, Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu ketika ini begitu tinggi.

"Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa.

"Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengakui bahawa sebelum ini wujud persengketaan di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun perselisihan faham itu telah diselesaikan.

Katanya bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua Bahagian Umno di negeri itu, supaya mereka kembali memperkukuhkan parti.

"Malah di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat Umno Terengganu kembali bersatu dan utuh. Maka, pemimpin-pemimpin Umno perlu rapatkan barisan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum (ke-13) akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu anggota Umno Terengganu terus bersatu dan menunjukkan semangat luar biasa bagi memastikan parti itu terus relevan dalam membela nasib bangsa Melayu.

"Inilah harapan saya selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Oleh itu, mulai hari ini saya mengarahkan Umno Terengganu supaya bangkit dengan semangat dan kesedaran yang luar biasa (untuk memenangi hati rakyat)," katanya.

-- BERNAMA