Halaman

01 July 2009

Usah Hentam Sistem Pendidikan

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera

Kemaman - 29 Jun 2009

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said melahirkan rasa dukacita terhadap sesetengah pihak di negeri ini yang masih menghentam kerajaan berhubung sistem pendidikan, semata-mata kerana kepentingan politik.

Beliau berkata, pihak berkenaan sering menyelar kerajaan kononnya mengamalkan sistem pendidikan sekular, tetapi pada masa yang sama mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan.


Pelajar Tahun Lima DUN Cukai, Kemaman yang terdiri daripada pelbagai kaum menggunakan e-Book selepas menerimanya daripada Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


“Golongan ini mendakwa sistem pendidikan kita sekular, tetapi menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan dan akhirnya memegang pelbagai jawatan penting bergaji besar dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian e-Book dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat Dewan Undangan Negeri Cukai, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran (MPK), 29 Jun lalu.

Dato’ Ahmad berkata, golongan ini hanya bermain politik dengan cara mengelirukan orang ramai bagi kepentingan pihak tertentu sahaja.



“Rakyat sepatutnya bersyukur kerana kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.

“Bagi program e-Book ini sahaja pada tahun ini kita membelanjakan RM34 juta bagi membeli komputer riba untuk diagihkan kepada pelajar Tahun Lima di sekolah rendah seluruh negeri,” katanya.

Dalam majlis lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh, Menteri Besar berkata, Terengganu mampu mencatatkan keputusan yang gemilang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan STPM kerana perbelanjaan besar dikeluarkan setiap tahun bagi membiayai bidang pendidikan

Katanya, Terengganu mencatatkan kejayaan menduduki tempat pertama bagi peperiksaan UPSR selama lapan tahun berturut-turut. Tahun lalu, seramai 3,170 pelajar mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR.


Dato' Ahmad mengagihkan e-Book kepada pelajar dalam kawasan DUN Cukai Kemaman.

“Negeri-negeri lain juga mahu berjaya di bidang pelajaran dan mencatatkan kejayaan seperti Terengganu, tetapi mereka tidak mampu mencapainya kerana kemampuan kewangan yang terhad,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)