Halaman

21 July 2009

Tiga MOU Di Ireland Dan UK

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kuala Terengganu - 15 Julai 2009

Dalam tempoh lapan hari, sekurang-kurangnya tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani antara kerajaan negeri dengan dua universiti terkemuka di Ireland dan United Kingdom (UK) dan sebuah syarikat di UK.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang baru pulang dari lawatan kerja ke luar negara tujuh hari bermula 5 Julai lalu, berkata MoU tersebut bertujuan memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini agar pelajar terus cemerlang dalam pelajaran.

“MoU pertama antara Kolej Universiti TATI (TATiUC) dan Queens University of Belfast, Ireland (QUB) untuk program pendidikan tinggi iaitu Sarjana dan PhD untuk pelajar lepasan TATiUC,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini (15 julai) .

Ketika berada di luar negara beliau turut berpeluang menghadiri majlis Konvokesyen QUB di mana dua pelajar kumpulan pertama tajaan Yayasan Terengganu (YT) iaitu Martini Muhamad dan Lili Shakirah Hassan berjaya menamatkan pengajian di bidang Kejuruteraan Kimia.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menaja mereka melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di QUB.

“Manakala MoU kedua juga antara TATiUC dengan Universiti Northampton di UK bertujuan membangunkan program penyelidikan di bidang `Non-Distructive Testing (NDT) di mana bidang ini mempunyai permintaan yang tinggi dalam industri minyak dan gas,” katanya.


Dato' Ahmad bersama dua pelajar tajaan YT yang menerima ijazah di Queen`s University, Ireland, Lili Shakirah (kiri) dan Martini Muhammad. -Foto TATiUC

Pada masa ini, TATiUC melalui anak syarikatnya, Ruane TATi Sdn Bhd menawarkan kursus jangka pendek profesional untuk rakyat tempatan bagi mengikuti kursus di bidang NDT.

“Melalui MoU ini juga TATiUC dengan kerjasama Universiti Northampton akan menawarkan program Diploma In NDT hingga ke peringkat Sarjana Muda yang pertama ditawarkan di negara ini,” katanya.

Dalam perbincangan tidak rasmi dengan Dublin Bisnees School (DBS) juga kerajaan negeri bersetuju menghantar pelajar TATiUC menyambung pengajian di peringkat diploma di universiti itu.

Selain itu, sebuah syarikat terkenal yang mengeluarkan peralatan minyak dan gas iaitu San Precision Engineering Co. Ltd (SPE) bersetuju untuk memindahkan operasi kilangnya dari Coventry di UK, ke kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman Terengganu, tahun ini.

“Usahasama antara TATI Production Sdn Bhd dengan SPE dalam pembuatan dan pengedaran injap (valve) di mana SPE yang ditubuhkan sejak 1984 terkenal sebagai pengeluar peralatan minyak dan gas seperti injap bebola tekanan tinggi dan manifolds,” katanya.

Dato’ Ahmad juga mengumumkan SPE akan membina kilangnya sendiri di Terengganu dan mengenal pasti tapak di kawasan Perindutrian Teluk kalong, Kemaman.

UKOM