Halaman

25 June 2009

Pemimpin Memastikan Rakyat Mendapat Hak, Pembelaan dan Keutamaan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Wakil APMT menyerahkan `Blue Print APMT' kepada Dato' Ahmad Said ketika majlis perjumpaan Pegawai APMT bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pemimpin politik ibarat `tong sampah’ terhadap apa jua masalah yang berlaku kerana kegagalan semua pihak terutama kakitangan kerajaan memberi khidmat kepada rakyat akan memberi kesan buruk terhadap kerajaan.

Rakyat yang tidak berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan kakitangan kerajaan akan membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan pada setiap pilihan raya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata tiada guna jika kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk rakyat jika rakyat menolak kerajaan serta parti Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Katanya, tiada makna pembangunan yang dilaksanakan kerajaan yang memerintah sekiranya rakyat gagal mendapat faedah menyebabkan mereka tidak berpuas hati lalu menolak parti BN ketika pilihan raya.


Pegawai APMT memberi tanda sokongan dengan bertepuk tangan ketika Menteri Besar hadir di perjumpaan berkenaan.

“Perasaan dan hak rakyat hendaklah dijaga sebagaimana yang diterapkan menerusi slogan `merakyatkan pembangunan dan pentadbiran, manakala di peringkat nasional sebagaimana Perdana Menteri katakan, `rakyat didahulukan, pembangunan diutamakan’.

“Kita haruslah memastikan rakyat mendapat hak, pembelaan dan diberi keutamaan dalam segala aspek,” katanya ketika Majlis Perjumpaan Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Bersama YAB Menteri Besar, di Dewan Besar , Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (22 Jun).

Hadir sama, Pengarah APMT, Encik Roshali Taha dan pegawai APMT seluruh Terengganu.


Ikrar pegawai APMT di depan Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata, semua kakitangan kerajaan harus melayani rakyat yang mahu berurusan dengan mereka dan tidak menangguhkan sesuatu urusan dengan rakyat tanpa sebab munasabah sehingga mereka (rakyat) terpaksa berulang kali ke sesebuah agensi dan jabatan.

Malah, bagi memastikan rakyat diutamakan, Program Menteri Besar Bersama Rakyat diadakan sejak Mac lalu mengikut peringkat di setiap parlimen, di mana beliau turun padang bagi mendekati rakyat di setiap kawasan.

“Jangan sombong kepada rakyat terutama yang miskin, kalau sudah jadi wakil rakyat, jadi orang besar sebab ini semua tak perlu (sombong). Kita perlu jalankan tugas dengan perlu bertanggungjawab dan menjaga hak rakyat. Mereka yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Selain itu, kerajaan amat menekankan aspek pelajaran kerana menerusi pelajaran dapat menghasilkan rakyat yang cemerlang suatu masa nanti dan mengubah landskap kehidupan masyarakat Terengganu keseluruhannya.

Katanya, Terengganu melabur dalam jumlah yang besar dalam pendidikan bagi memastikan pelajar yang lahir dari Terengganu boleh mencorak masa depan yang baik serta memiliki bidang kerjaya yang membanggakan rakyat dan kerajaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)