Halaman

25 June 2009

Pantau Anak Di Rumah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Empat pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek, Setiu, mengulangkaji pelajaran hanya menggunakan e-Book dan tidak lagi merujuk kepada buku teks yang banyak. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ibu bapa diingat supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika berada di rumah agar tidak menjadikan e- Book sebagai bahan hiburan di luar sekolah.

“Ketika dalam kelas guru boleh memantau tapi bila di rumah ibu bapa yang harus ambil alih tugas itu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Wanita Negeri, YB Haji Ashaari Idris di majlis penyampaian e-Book Sekolah Rendah Fasa 1, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Setiu kelmarin (23 Jun).

Katanya, menjadi harapan kerajaan dan semua ibu bapa, untuk melihat pelajar sekolah rendah dapat memperbaiki pembelajaran mereka, sekaligus meningkatkan prestasi mereka dalam peperiksaan.


YB Ashaari menyampaikan e-Book kepada pelajar Tahun Lima.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghargai pengorbananan kerajaan yang telah membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk membeli e-Book semata-mata ingin melihat pelajar dapat belajar lebih tekun dan mendapat keputusan cemerlang.

Di majlis itu, 136 unit e-Book telah diagihkan kepada 136 pelajar Tahun Lima dari empat sekolah dalam DUN Langkap iaitu SK Sungai Lerek, SK Kampung Rahmat, SK langkap dan SK Fikri.


Pelajar Tahun Lima DUN Langkap, Setiu, bersama e-Book tanda berterima kasih mereka kepada Kerajaan Negeri.

Terdapat 515 pelajar Tahun Lima daripada 21 buah sekolah dalam DUN Langkap dan 17 sekolah yang masih belum menerima e-Book akan menerimanya mengikut giliran dan ia akan diagihkan secara berperingkat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)