Halaman

29 June 2009

Kesihatan Terjejas Tidak Halang Agih e-Book

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Jabi, Besut - 29 Jun 2009


Dato' Ahmad menyerahkan e-Book kepada seorang murid Tahun Lima pada majlis Penyampaian e-Book DUN Jabi di Sekolah Kebangsaan Apal, Besut. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Walaupun keadaan kedua belah kaki yang kurang baik, saya tetap gagahkan diri untuk agihkan e-Book kepada semua pelajar dalam setiap program dihadiri.

“Saya tidak kira jumlah murid berapa ramai, sehingga dua ribu lebih pun sanggup agihkan, apa yang penting, kata-kata perangsang dan amanat mampu disampaikan secara berdepan,” kata Menteri Besar Dato’ Ahmad Said di sidang media selepas Majlis Penyampaian e-Book di Sekolah Kebangsaan Apal, Jabi, Besut, hari ini.


Guru Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Besut, Wan Fauzi melihat e -Book bersama muridnya selepas murid beliau menerima e-Book itu daripada Menteri Besar Terengganu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Ramlan Ali dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 614 murid tahun lima dari 13 sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Besut menerima e-Book.

Sehingga kini lebih 7,000 e-Book sudah diagihkan melibatkan beberapa DUN di negeri ini.


Guru Sekolah Kebangsaan Apal, Besut menyusun e-Book untuk diagihkan oleh Menteri Besar kepada murid dalam kawasan DUN Jabi.

Daripada jumlah itu, hampir 5,000 diagihkan sendiri Menteri Besar sebagai tanda usaha dan kesungguhan kerajaan negeri memperkasakan sistem pendidikan sedia ada.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri ingin melihat anak didik Terengganu berjaya mencapai kecemerlangan dalam hidup dan berjaya mengharumkan nama Terengganu di peringkat global.

“Pendidikan penting dalam diri setiap individu sekiranya ingin mengecapi kualiti dalam tempoh 40 tahun akan datang.

“Pada masa depan, anak kelahiran negeri ini semuanya celik Teknologi Maklumat (IT), jika tidak pandai berkaitan itu, ia bukan anak jati Terengganu,” katanya.

Menurutnya, apa yang membanggakan, mereka bukan sahaja mampu menggunakan IT malah menciptanya, setanding penduduk di negara maju, termasuk Jepun dan China.

“Bagi mencapai hasrat itu, kita perlu mendidiknya bermula seawal usia kerana mudah bagi mereka menerima ilmu dan mengolahnya,” katanya.

Dato’ Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri bersikap adil dalam memberi bantuan, asalkan mereka itu layak dan cukup syarat, tidak kira sama ada ibu bapa pelajar berkenaan penyokong Barisan Nasional atau sebaliknya.

“Jika ada mana-mana individu menuduh kerajaan bersikap zalim, mereka tergolong di kalangan individu tidak mengenang budi dan lupa daratan,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)