Halaman

25 June 2009

Gembira Dapat e-Book

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Murid Tahun Lima, Nor Salhuda gembira menerima e-Book daripada YB Ahmad Razif. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Keprihatinan kerajaan negeri didahului ribuan terima kasih kerana sudi menyumbangkan e-Book untuk keperluan murid termasuk anak saya, Muhamad Hakimi Ramli, 11.

“Jika tiada bantuan sukar bagi kami sebagai ibu bapa untuk membeli keperluan itu kerana pendapatan bulanan suami sebagai buruh hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian,” kata ibu kepada penerima e-Book, Puan Juliana Muda, 43.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TeganuKita selepas tamat Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini (22 Jun).

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, YB Razif Abd Rahman.

Sempena majlis itu, YB Razif turut merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Komuniti (PKPK) bagi DUN Seberang Takir 2009.

Kira-kira 830 murid di tujuh sekolah rendah dalam kawasan DUN Seberang Takir menerima e-Book.

Sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir, SK Bukit Tok Beng, SK Tok Jembal, SK Kompleks Seberang Takir, SK Gong Badak, SK Bukit Tunggal dan SK Duyong.
Azhar Abdullah, 40-an, berkata dia akan memantau sebaik mungkin penggunaan e-Book yang diperoleh anaknya, Nur Ain Azhar, 11, bagi memastikan alat bantuan belajar itu sentiasa dalam keadaan baik.

“Walaupun kurang mahir berkaitan teknologi maklumat, saya akan berusaha belajar bertujuan memberi semangat kepada Nur Ain dan anak-anak lain,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Penerima e-Book, Nor Salhuda Mohd Yahya, 11, dia berazam akan belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

“e-Book cukup istimewa bagi saya kerana melaluinya pelbagai perkara boleh belajar selain tidak perlu lagi menggalas beg.

“Saya akan jaga sebaik mungkin e-Book ini bagi mengelak ianya rosak dan hilang,” katanya.


YB Ahmad Razif menyampaikan e-book kepada murid tahun lima dalam kawasan DUN Seberang Takir.

Sementara itu YB Razif berkata, sebagai permulaan, program PKPK akan dilaksanakan di dua sekolah di kawasan DUN Seberang Takir sebelum dilancarkan ke semua sekolah di negeri ini.

Katanya, SMK Kompleks Seberang Takir dan SK Kompleks Seberang Takir terpilih untuk melaksanakan program sebagaimana disarankan oleh kerajaan.

“Program PKPK bakal diwujudkan pada waktu malam dan ditetapkan empat kali dalam tempoh seminggu.

“Setiap bapa diwajibkan mengikuti program itu bersama anak masing-masing tanpa sebarang alasan dan disaran mengerjakan solat Maghrib di surau sekolah,” katanya.
Katanya, pendekatan itu mampu menjalin hubungan mesra antara guru dan anak selain dapat mendalami ilmu melalui ceramah agama yang disampaikan ustaz bertauliah.

“Ketika bapa mendengar ceramah, anak masing-masing akan mengikuti aktiviti yang ditetapkan guru, termasuk belajar komputer dan mengulangkaji pelajaran.

“Selepas mengerjakan solat Isyak bapa dibenar melawat anak dan seterusnya membawa mereka pulang,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)